‘Saya tanding atas permintaan rakyat, status bersama Bersatu bincang kemudian’, kata Ali Biju

‘Saya tanding atas permintaan rakyat, status bersama Bersatu bincang kemudian’, kata Ali Biju

Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata keputusan itu sebagai menghormati sokongan dan permohonan rakyat di peringkat akar umbi yang mahu beliau terus mempertahankan kerusi.

Ali Biju berkata, keputusannya bertanding semula mempertahankan kerusi DUN Krian disebabkan permintaan rakyat dan sokongan akar umbi. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Ali Biju berkata, keputusannya bertanding semula untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian adalah disebabkan permintaan rakyat di kawasan itu.

Beliau yang memenangi kerusi berkenaan sejak dua penggal lalu berkata, keputusan itu adalah bagi menghormati sokongan dan permohonan rakyat di peringkat akar umbi yang mahu beliau terus mempertahankan kerusi tersebut.

“Dalam PRN12 bagi DUN Krian ini, saya akan menggunakan tiket calon Bebas dengan lambang ‘kerusi’.

“DUN Krian ini unik, rakyat di sini lebih mengutama personaliti calon daripada parti yang diwakilinya,” kata ahli Bersatu itu menurut laporan Utusan Borneo.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai statusnya bersama Bersatu, Ali berkata, perkara tersebut akan dibincangkan kemudian dengan Presiden parti.

Terdahulu, Ali dilaporkan bertanding sebagai calon Bebas di DUN Krian yang berdepan saingan empat penjuru dengan Musa Dinggat (PSB), Danny Kuan (PBK) dan Friday Belik (GPS).

Susulan itu, Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan dalam hantaran di Facebook berkata, perlembagaan parti itu jelas menetapkan mana-mana ahli yang bertanding tanpa kebenaran akan berdepan tindakan disiplin termasuk boleh terhenti keahlian serta-merta.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebelum ini membuat pengumuman rasmi bahawa parti itu tidak akan bertanding pada PRN Sarawak dan akan membantu dalam memastikan kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.