Peningkatan kemahiran dan latihan semula amat penting untuk ekonomi, kata pakar

Peningkatan kemahiran dan latihan semula amat penting untuk ekonomi, kata pakar

Ahli ekonomi Madeline Berma berkata program peningkatan kemahiran dan latihan semula boleh membantu majikan dan pencari pekerjaan memenuhi keperluan pasaran.

Peningkatan kemahiran dan latihan semula membantu melindungi pekerjaan dan membuka pintu peluang pekerjaan baharu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) tenaga kerja amat perlu bagi memastikan kakitangan boleh menangani keperluan pasaran buruh yang begitu cepat berubah, kata seorang ahli ekonomi.

Felo Akademi Sains Malaysia, Madeline Berma berkata, pandemik Covid-19 memburukkan keadaan pengangguran dan guna tenaga tidak penuh sekali gus mengakibatkan kelompongan dari segi kemahiran yang sukar diisi oleh perniagaan.

Katanya, program latihan, peningkatan kemahiran dan latihan semula perlu dilaksanakan secara berterusan.

“Malaysia perlukan reformasi struktur untuk berubah daripada ekonomi yang menggunakan tenaga kerja asing tidak berkemahiran dan murah kepada ekonomi yang menggunakan tenaga kerja berkemahiran dan berasaskan pengetahuan.

“Malaysia perlukan tenaga kerja berkemahiran agar kekal berdaya saing dalam pemulihan ekonomi pasca-Covid-19,” katanya kepada FMT.

Madeline mengulas peruntukan RM1.1 bilion yang diumumkan dalam Bajet 2022 untuk melatih dan meningkatkan kemahiran 220,000 pekerja.

Beliau menyarankan agar kerajaan turut menumpukan kepada usaha menyediakan latihan kemahiran untuk rakyat yang menganggur, bukannya mereka yang sedang belajar di universiti atau sekolah vokasional.

Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Syed Hussain Syed Husman menyambut baik langkah kerajaan menekankan usaha meningkatkan kemahiran dan latihan semula bagi melahirkan tenaga kerja yang lebih cekap.

Syed Hussain berkata, peluang pekerjaan baharu perlu dicipta dan pekerjaan sedia ada harus dipelihara.

“Usaha meningkatkan kemahiran dan melatih semula ini boleh mengurangkan kadar pengangguran dan menangani perubahan struktur di pasaran buruh,” katanya kepada FMT.

Syed Hussain berkata, inisiatif kerajaan itu harus dapat mengatasi masalah pengangguran, pemberhentian kerja dan pengambilan graduan untuk bekerja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.