
Pengarah Komunikasinya, Khalid Abdul Samad berkata, parti itu menolak sebarang kerjasama dengan golongan kleptokrat demi memperjuangkan sifat integriti dan amanah dalam politik.
“Amanah ingin menegaskan bahawa sekiranya kleptokrasi dilihat kembali berpengaruh ke atas kerajaan pimpinan Ismail Sabri, maka Amanah akan mengesyorkan supaya PH mengkaji kembali keabsahan MoU yang telah kami tandatangani,” katanya di Facebook.
Khalid berkata, Amanah menyedari kemenangan PH pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) adalah disebabkan rakyat enggan menerima dan menolak kleptokrasi serta sifat khianat dalam pentadbiran negara.
Beliau mendakwa, kemunculan semula kleptokrasi adalah berpunca daripada Langkah Sheraton yang berlaku pada Februari tahun lalu.
“Amanah memperjuangkan sifat integriti dan amanah dalam politik. Sifat ini kami anggap sifat penting dan paksi kepada kebangkitan umat dan negara,” katanya.