‘Heret’ anak bini pecah kereta, premis di Genting Highlands

‘Heret’ anak bini pecah kereta, premis di Genting Highlands

Suspek turut menggunakan taktik menyewa kenderaan dan mendaftarkannya dalam perkhidmatan e-panggilan bagi mengelak jenayahnya dikesan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Bentong Zaiham Mohd Kahar (dua dari kiri) menunjukkan barangan yang dirampas hasil penahanan suspek. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki membawa isteri dan dua anak berusia tiga dan empat tahun ketika melakukan jenayah pecah kereta dan premis di sekitar Genting Highlands.

Malah, suspek turut menggunakan taktik menyewa kenderaan dan mendaftarkannya dalam perkhidmatan e-panggilan bagi mengelak jenayahnya dikesan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, kegiatan itu berakhir apabila polis berjaya mengesan dan menahannya di sebuah stesen minyak di Klang, pada 2 Dis lalu.

Isterinya pula ditahan kelmarin ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong.

Ketua Polis Daerah Bentong, Zaiham Mohd Kahar, berkata pemeriksaan ke atas suspek dan kenderaan dipandunya menemukan barang curi dan suspek mengaku melakukan dua jenayah curi dalam bangunan dan tiga pecah kenderaan di kawasan Genting Highlands.

“Antara barang dirampas ialah wang tunai RM400, perkakasan audio kenderaan, lima telefon bimbit, tiga beg, pelbagai kunci, ‘walkie-talkie’ dan beg kulit selain beberapa peralatan seperti pemotong wayar, pisau, gerudi serta sebuah kereta Perodua Bezza yang disewa suspek turut disita.

“Penangkapan suspek berjaya menyelesaikan tujuh kes pecah kedai dan pecah kenderaan di kawasan pentadbiran IPD Bentong dengan jumlah kerugian keseluruhan kira-kira RM10,000,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Beliau berkata, turut ditemui bersama suspek, tiga plastik lutsinar disyaki syabu dan satu plastik lutsinar yang terdapat ketulan mampat disyaki ganja.

Katanya, suspek lelaki yang berusia 31 tahun itu ditahan reman selama tujuh hari manakala suspek wanita berusia 33 tahun direman empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

“Suspek lelaki turut disiasat mengikut Seksyen 6, 12 (2) serta 15(1) (A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek mula melakukan aktiviti jenayah sejak kebenaran rentas negeri November lalu dengan menyasarkan kawasan peranginan Genting Highlands.

“Dalam tempoh berkenaan suspek mencuri barangan dalam tujuh kenderaan dengan cara memecahkan cermin dan mengumpil kunci kenderaan yang dilakukan pada waktu malam selain memecah masuk dua kiosk di Genting Highlands,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.