Gara-gara keliru isu senarai hitam, lelaki Romania terkandas di KL

Gara-gara keliru isu senarai hitam, lelaki Romania terkandas di KL

Ciprian Strugaru yang tiba di KLIA pada 2 Dis dilarang memasuki Malaysia atas alasan negaranya termasuk dalam senarai hitam disebabkan pandemik.

Ciprian Strugaru mendakwa pegawai imigresen tidak memeriksa langsung dokumennya.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki Romania, Ciprian Strugaru yang tiba di KLIA pada 2 Dis, dilarang memasuki Malaysia atas alasan negaranya termasuk dalam senarai hitam disebabkan pandemik.

Warga Romania berusia 36 tahun itu yang bekerja di UK sejak enam tahun lalu, membuat pendaftaran kuarantin Langkawi seperti diarahkan kakitangan KLIA, sebelum dimaklumkan perlu mengambil ujian PCR Covid-19 untuk meneruskan perjalanan ke Langkawi bawah gelembung perjalanan, pada keesokannya.

Malangnya, selepas mengambil ujian itu, pegawai imigresen memaklumkan beliau tidak boleh memasuki Langkawi disebabkan pasport Romania digunakannya.

“Saya cuba menjelaskan sudah dua tahun tidak pulang ke Romania malah tinggal di UK, namun mereka enggan mendengar. Mereka juga langsung tidak memeriksa dokumen saya,” katanya kepada FMT.

Ciprian Strugaru menggunakan kerusi di KLIA sebagai tempat tidur.

Katanya, seorang kakitangan Penerbangan Malaysia telah memintanya menjalani kuarantin di Kuala Lumpur untuk membolehkannya meneruskan perjalanan ke Langkawi. Susulan itu beliau menempah hotel di bandar yang menelan belanja RM2,000 untuk tujuan itu.

Bagaimanapun, selepas mendaftar keluar, seorang kakitangan lain pula memaklumkannya beliau dilarang meneruskan perjalanan, sebaliknya terpaksa melalui proses itu sekali lagi.

Rakannya Syafiq Afham berusaha menghubungi pihak berkuasa imigresen namun gagal.

Syafiq berkata, beliau kemudian menghubungi Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara yang mengesahkan Romania bukan antara negara yang disenarai hitam.

Warga Romania Ciprian Strugaru terkandas di koridor di KLIA sejak tiba di negara ini.

“Saya cuba menyampaikan perkara itu kepada kakitangan imigresen di KLIA namun mereka berkata tidak berbuat apa-apa kerana tiada arahan daripada pegawai atasan,” kata Syafiq.

Seorang Pegawai Kedutaan Romania di Kuala Lumpur, Bogdan, yang berjaya dihubungi Stugaru turut cuba menghubungi pihak berkuasa imigresen namun gagal mendapat sebarang maklum balas setakat laporan ini disiarkan.

FMT telah menghubungi Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud untuk mendapatkan komen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.