
Pengerusinya, Abdul Ghani Salleh berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjadi satu-satunya parti yang bertanding di semua 82 kerusi DUN.
Sebanyak 10 parti dan 30 calon Bebas disahkan bertanding, membabitkan 304 calon lelaki dan 45 wanita.
Katanya, majoriti pertandingan membabitkan pertembungan empat penjuru, diikuti 24 kerusi menyaksikan lima penjuru, tujuh kerusi DUN membabitkan enam penjuru dan hanya satu kerusi melibatkan pertandingan lapan penjuru.
Ghani berkata, seramai 95 calon bertanding adalah membabitkan mereka di bawah usia 50 tahun, manakala 121 lagi adalah 60 tahun ke atas.
“Calon termuda adalah berusia 24 tahun iaitu di Batu Lintang dan Nangka, manakala calon tertua adalah 79 tahun bertanding di DUN Bawang Assan,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak dua kertas penamaan calon ditolak iaitu membabitkan DUN Jemoreng, yang mana penyokong untuk calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) menarik diri, manakala di DUN Senadin disebabkan pencadang dan penyokong calon bukan pemilih berdaftar untuk DUN berkenaan.