
Pengurus pasukan, Mohd Yusoff Mahadi berkata, kedua-dua pemain itu didapati positif dalam ujian saringan memasuki Singapura di Lapangan Terbang Changi pada Jumaat, namun ahli pasukan lain tidak dijangkiti virus itu.
Beliau berkata, dua pemain terbabit diarahkan menjalani kuarantin 10 hari mengikut protokol Kementerian Kesihatan Singapura, dengan ujian Covid-19 dilakukan setiap hari.
Yusoff, yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), turut mengesahkan penganjur membenarkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu meneruskan latihan dan cabaran di Piala AFF 2020.
“Kita masih membincangkan keputusan memanggil pemain lain menggantikan dua pemain ini kerana terdapat satu posisi yang agak kritikal. Cheng Hoe dijangka membuat keputusan malam ini,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di Singapura.
Cheng Hoe yang menyenaraikan 24 pemain ke Singapura, kini hanya mempunyai 21 pemain yang mampu beraksi esok.
Pemain berdarah kacukan Malaysia-Belgium, Dion Cools yang sedang beraksi bersama FC Midtjylland di Denmark, dijangka hanya menyertai skuad kebangsaan sebelum aksi terakhir kumpulan bertemu Indonesia pada 19 Dis ini.
Kemboja akan menentang Malaysia selaku naib juara edisi 2018 di Stadium Bishan pada 5.30 petang esok dalam aksi pertama Kumpulan B.
Skuad Harimau Malaya kemudian dijadualkan bertemu Laos pada 9 Dis, sebelum berdepan Vietnam (12 Dis) dan Indonesia pada aksi terakhir.