Peraturan lesen bir untuk semua kopitiam hakis hak orang bukan Islam, kata Guan Eng

Peraturan lesen bir untuk semua kopitiam hakis hak orang bukan Islam, kata Guan Eng

Setiausaha Agung DAP itu berkata, pasukan undang-undang parti itu akan mengkaji isu terbabit dan mencabar peraturan itu di mahkamah.

Kedai kopi dan restoran perlu membayar lebih RM1,000 untuk mendapatkan lesen daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi penjualan bir. (Gambar Reuters)
GEORGE TOWN:
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan larangan menjual bir di kedai kopi dan restoran di Perlis mulai bulan depan serta syarat tambahan untuk semua kopitiam mempunyai lesen alkohol bagi penjualan bir ialah tanda hakisan hak orang bukan Islam di negara ini.

Beliau berkata demikian selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia memaklumkan pengusaha restoran dan kopitiam di Perlis berhubung tindakan ke atas penjualan bir di premis mereka tanpa lesen alkohol.

Sebelum ini, kerajaan Perlis melalui pihak berkuasa tempatannya dilapor mengenakan syarat tambahan yang mengehadkan penjualan empat kotak bir sehari.

Kedua-dua peraturan itu akan berkuat kuasa bulan depan, dengan China Press memetik pegawai kastam sebagai berkata, ia dilaksanakan mengikut peraturan eksais 1976.

Lim dalam kenyataan hari ini berkata, kedai kopi dan restoran kini perlu membayar lebih RM1,000 untuk mendapatkan lesen alkohol daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia, ketika perniagaan merosot disebabkan pandemik.

Katanya, peraturan lesen itu akan menjejaskan ribuan kedai kopi dan restoran yang sekadar meraih keuntungan kecil daripada penjualan bir.

Beliau berkata, sesetengah kedai kopi mungkin terpaksa berhenti menjual bir disebabkan bayaran lesen yang tinggi.

“Adakah ini hasil yang dikehendaki dan motivasi politik sebenar kerajaan persekutuan untuk akur kepada kehendak parti ekstremis, PAS?

“Langkah sengaja melaksanakan sekatan tidak perlu dan campur tangan dalam gaya hidup serta amalan perniagaan orang bukan Islam yang tidak diganggu gugat sejak merdeka sekadar untuk memuaskan hati PAS.”

Terdahulu, kerajaan Kedah pimpinan PAS mengumumkan ia akan memperkenalkan larangan menjual alkohol di kawasan dengan “permintaan rendah” dan mengharamkan kedai nombor ekor.

Lim mempersoalkan anggota Kabinet bukan Islam, termasuk dari Sabah dan Sarawak, kenapa mereka tidak membantah peraturan sedemikian.

Katanya, pasukan undang-undang DAP akan mengkaji isu itu dan mencabarnya di mahkamah.

“DAP menggesa kerajaan tempatan, khasnya di negeri dikuasai Pakatan Harapan supaya tidak melaksanakan peraturan itu yang melarang dan mengehadkan hak sedia ada orang bukan Islam.”

Notis pendek

Presiden Persatuan Peniaga Kopi, Bar dan Restoran Petaling Jaya, Keu Kok Meng berkata, pengusaha premis menjual bir terkejut kerana mereka hanya dimaklumkan mengenai peraturan itu tiga minggu lalu.

Katanya, dasar baharu itu akan memaksa banyak kedai kopi menghentikan operasi kerana kos lesen itu berharga RM840 hingga RM1,320 setahun.

“Sudah tentu kami terkejut dengan notis pendek itu. Jadi, kami akan merayu terhadap keputusan itu. Malah, kami akan menulis kepada kementerian untuk pertimbangan semula,” katanya dipetik portal berita The Vibes sambil menambah 20% hingga 30% ahli persatuannya terpaksa tutup kedai akibat impak pandemik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.