
Ketua Pegawai Komunikasinya, Muhammad Khairulnizam Hasnan, berkata pihaknya juga sedang memuktamadkan laluan bagi perkhidmatan bas berkenaan.
“Ada beberapa perkara lain lagi yang masih perlu diselesaikan termasuk dengan pelbagai pihak berkuasa sebelum kita dapat memulakan perkhidmatan percubaan.
“Kita memang bersemangat untuk mula mengoperasikan perkhidmatan ini dan maklum balas yang diterima menunjukkan warga bandar raya juga berminat untuk merasai sendiri apa itu e-bus,” katanya dalam kenyataan.

Khairulnizam berkata, QSB mengambil inisiatif memperkenalkan e-bus sebagai sebahagian daripada sumbangannya ke arah memperbaiki sistem pengangkutan awam di Kota Kinabalu.
Katanya, e-bus sesuai dilaksanakan kerana mesra alam sekitar selain mengambil kira penggunaan kenderaan yang dipacu tenaga elektrik semakin mendapat tempat di seluruh dunia.
“Atas sebab itu juga QSB mencadangkan perkhidmatan transit rapid (RTS) menggunakan ‘skytrain’ membabitkan laluan sepanjang 25.5km dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Alamesra.
“Ini adalah input kita ke arah mentransformasikan perkhidmatan pengangkutan awam di Kota Kinabalu untuk manfaat Sabah secara keseluruhan,” katanya.
Beliau bagaimanapun, menyedari usaha melaksanakan transformasi terbabit mengambil masa panjang, namun agensi berkenaan komited mahu merealisasikan hasrat itu menjadi kenyataan.
Pada 29 Nov, QSB melalui anak syarikatnya, WHSB Ventures Sdn Bhd (WVSB) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Vizinone Construction Sdn Bhd, Sycal Skycity Sdn Bhd and Guangcai China (M) Sdn Bhd untuk melaksanakan projek bernilai berbilion ringgit itu. Ia termasuk pembangunan hartanah bercampur di tapak seluas 6.4 hektar di Tanjung Lipat, dekat sini.
WVSB memaklumkan kemudian bahawa MoU itu disasar untuk mewujudkan secara rasmi kerjasama tanpa ikatan dan kerjasama berkaitan pelaksanaan projek sehingga selesai rundingan akhir untuk persetujuan rasmi di antara pihak yang terbabit.
Bagaimanapun, katanya, cadangan projek itu masih di peringkat awal dan penerokaan dalam kalangan pihak yang menandatangani MoU berkenaan.