
Ketua Polis Daerah Port Dickson Aidi Sham Mohamed, berkata polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana ahli kumpulan yang berlagak seperti polis trafik dalam mengawal lalu lintas.
Aksi mereka yang dirakam itu tular di media sosial dalam video berdurasi tiga minit.
Beliau berkata, insiden itu dipercayai berlaku di jalan awam di daerah Port Dickson, petang tadi, seperti ditularkan di Facebook.
“Rakaman itu menunjukkan aksi marsyal memberi arahan kepada sebuah kenderaan awam supaya memperlahankan kenderaan dan bergerak ke kiri lorong jalan bagi membenarkan sekumpulan motosikal berkuasa tinggi melalui laluan itu,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Katanya, berdasarkan rakaman, dipercayai konvoi itu bergerak dari arah Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, Melaka, melepasi kawasan Jalan Tanjung Agas, Pasir Panjang, Port Dickson.
“Polis sedang mengesan individu yang terbabit dalam rakaman. Kita menyeru kepada mana-mana yang memiliki maklumat kejadian untuk menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.
“Maklumat boleh disalurkan ke pihak Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di talian 06-6472222 untuk tindakan lanjut,” katanya.
Aidi Sham berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Polis 1967, Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Halangan Lalulintas) dan Kaedah-Kaedah Lalulintas 167/59(Kaedah 12(3)(A) iaitu Kesalahan di garisan berkembar.
“Seseorang marsyal tidak dibenarkan memberi apa jua arahan bagi tujuan menahan atau memberhentikan kenderaan atau melencong kehadiran tanpa kehadiran mana-mana pegawai polis atau pengiring daripada polis trafik,” katanya.