Sindiket tumpas, pelbagai rokok bernilai lebih RM700,000 dirampas

Sindiket tumpas, pelbagai rokok bernilai lebih RM700,000 dirampas

Sejumlah 6,910 karton rokok itu dipercayai bagi pasaran sekitar Lembah Klang.

Taktik sindiket pengedaran rokok seludup menjadikan rumah teres dua tingkat di Taman Overseas Union sebagai stor transit, kata Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Shamsol Kassim. (Gambar Facebook)
SHAH ALAM:
Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu berjaya merampas 6,910 karton pelbagai jenis rokok dianggarkan bernilai RM759,434.88, termasuk cukai di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Overseas Union, Jalan Klang Lama, di ibu negara, petang semalam.

Komander PPM Wilayah Satu Shamsol Kassim, dalam kenyataan, berkata taktik sindiket pengedaran rokok seludup menjadikan rumah teres dua tingkat itu sebagai stor transit mereka terbongkar, selepas diserbu pada 3.30 petang, namun tiada tangkapan dilakukan.

Shamsol berkata, pembongkaran aktiviti berkenaan adalah hasil intipan PPM Pelabuhan Klang menerusi Op Contraband terhadap sebuah kereta jenis Proton Persona yang baru selesai menghantar rokok tidak bercukai di kawasan Telok Gong, Pelabuhan Klang, Klang dekat sini.

Beliau berkata, pihaknya kemudian mengekori kereta berkenaan sehingga ditemui diparkir di sebuah rumah di Taman Overseas Union, Jalan Klang Lama.

“Setelah memanggil penghuni rumah dan tidak disahut oleh mereka, pasukan serbuan bertindak memanjat pagar dan memasuki rumah yang tidak berkunci itu dan pemeriksaan telah dibuat di mana tiada penghuni di dalamnya, serta dipercayai mereka telah melarikan diri melalui pintu belakang rumah yang terbuka,” katanya.

Turut dirampas sebuah Proton Persona dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM779,434.88,

Shamsol berkata, siasatan awal mendapati rumah itu disewa sindiket berkenaan sebagai stor transit untuk pasaran sekitar Lembah Klang berdasarkan resit-resit yang ditemui di lokasi kejadian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.