
Pegawai khasnya, Zamri Mohamad berkata, Sabbaruddin, 80, sebelum ini dimasukkan ke PPUM, sejak seminggu lalu bagi menjalani kuarantin selepas disahkan positif Covid-19.
“Betul, Tan Sri (Sabbaruddin) baru saja meninggal dunia kira-kira jam 8 lebih tadi. Belum pasti akan dikebumikan di mana.
“Kami pun sudah memaklumkan berita itu kepada Perdana Menteri (Ismail Sabri) yang kini berada di Sarawak,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Beliau berkata, segala urusan jenazah termasuk pengebumiannya dijangka akan dibuat sepenuhnya oleh pihak hospital.
Ismail sebelum ini pernah menyifatkan Sabbaruddin Chik sebagai sifu dan mentor politik yang tidak mampu dibalas jasanya.
Sabbaruddin pernah memegang jawatan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, dari 1987 hingga 1999, selain menjadi Setiausaha Agung Umno, pada 1990. Beliau turut menyandang kawasan Parlimen Temerloh selama empat penggal, dari 1982 hingga 1999.
Sementara itu, Ismail dalam hantaran di Instagram menyifatkan Sabbaruddin “episod penting” dalam kerjaya politiknya selain turut menyuarakan rasa sedih dengan berita itu.
Menurutnya, Sabbaruddin melantiknya sebagai Ahli Jawatankuasa Umno Temerloh pada tahun 1987, seterusnya Ketua Penerangan Umno Bahagian Temerloh beberapa bulan kemudian. Ismail kemudian dilantik sebagai Setiausaha Politik Sabbaruddin pada 1995.
“Ketika itulah banyak pengalaman dan ilmu pengetahuan yang saya peroleh berkat tunjuk ajar Allahyarham. Sesungguhnya Allahyarham seorang yang amat berdisiplin dan menepati waktu, malah sangat tekun dan berwibawa dalam melaksanakan amanahnya untuk rakyat dan negara.
“Pemergian Allahyarham adalah kehilangan yang begitu besar, bukan sahaja kepada saya tetapi juga buat negara kita,” katanya.