Kuasa pelesenan mampu rangsang industri perikanan laut dalam Sabah, kata menteri

Kuasa pelesenan mampu rangsang industri perikanan laut dalam Sabah, kata menteri

Penurunan kuasa itu akan membolehkan Jabatan Perikanan Sabah menentukan lesen vesel yang perlu dikeluarkan mengikut kapasiti jumlah tangkapan.

Ronald Kiandee (kiri) menyerahkan surat penurunan kuasa kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah, Jeffrey Kitingan (dua dari kanan) sambil disaksikan Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Maximus Ongkili (kanan). (Gambar Jabatan Ketua Menteri)
KOTA KINABALU:
Penurunan kuasa pelesenan perikanan laut dalam kepada kerajaan Sabah dilihat mampu merangsang industri terbabit di negeri itu, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Ronald Kiandee.

Beliau berkata, penurunan kuasa itu daripada Ketua Pengarah Perikanan kepada Pengarah Perikanan Sabah antara lain akan membolehkan Jabatan Perikanan Sabah menentukan lesen vesel yang perlu dikeluarkan mengikut kapasiti jumlah tangkapan seperti di Laut Sulu, Laut China Selatan dan Laut Sulawesi.

Katanya, pemberian kuasa itu bermula dengan penerimaan permohonan, pengauditan, penilaian, kelulusan permohonan, sehingga pengeluaran permit dan lesen vesel, serta peralatan penangkapan ikan laut dalam Zon C2, tertakluk kepada syarat ditetapkan secara bersama.

“Industri perikanan Sabah mempunyai potensi pembangunan tinggi dan harus terus dikembangkan memandangkan ketika ini Sabah mempunyai 30,486 nelayan yang menghasilkan 206,703 tan metrik ikan setahun, dengan nilai melebihi RM1.2 bilion,” katanya selepas menghadiri taklimat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 di Bangunan Dewan Undangan Negeri di sini.

“MAFI juga sentiasa bersedia mengadakan sesi libat urus dengan kerajaan negeri supaya kepentingan pengurusan sektor perikanan Sabah diambil kira dalam cadangan penambahbaikan kepada Akta Perikanan 1985 yang akan dilaksanakan, setelah kajian berkenaan penambahbaikan dimuktamadkan.”

Ronald berkata, mesyuarat Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob pada 18 Okt lalu bersetuju memberi kuasa kepada Pengarah Jabatan Perikanan Sabah dan Sarawak mengeluarkan permit serta lesen laut dalam bagi vesel penangkapan ikan Zon C2.

Katanya, penurunan kuasa itu membolehkan Sabah melaksanakan dasar sedia ada mahupun baharu berkaitan pengurusan perikanan yang bersesuaian keperluan industri perikanan di Sabah, mengikut norma pengurusan perikanan antarabangsa.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor menyokong sepenuhnya cadangan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan ia sejajar peruntukan dalam Perjanjian Malaysia 1963.

“Rang undang-undang bagi meminda Perlembagaan Persekutuan itu hasil perbincangan mesyuarat Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 yang mengambil kira permintaan dari Sabah dan Sarawak.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.