
Katanya, kebenaran bagi menampung kekurangan bekalan ayam di pasaran itu membabitkan pengimportan sehingga 10,000 tan metrik atau 5.5 juta ekor sebulan.
“Syarikat yang berhasrat mengimport perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mempunyai kemudahan penyimpanan sejuk beku serta tertakluk kepada syarat.
“Pengimportan ini hanya akan dibenarkan dari negara dan loji penyembelihan yang diluluskan kerajaan,” katanya dalam kenyataan.
Langkah intervensi itu susulan pengumuman Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob pada Rabu lalu, kerajaan akan mengimport ayam sejuk beku bagi menampung permintaan dan membolehkan rakyat mendapat bekalan pada harga lebih rendah berbanding ayam segar tempatan.
Kenyataan MAFI itu menyebut kebenaran mengimport ayam bulat itu bersifat sementara sehingga bekalan ayam dapat distabilkan industri ayam tempatan dan kuantum import hanya untuk memenuhi kekurangan bekalan ayam semasa bagi tempoh tertentu.
Berdasarkan penelitian MAFI melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), negara secara purata berdepan kekurangan bekalan ayam dalam pasaran sebanyak 18% bagi Oktober dan November lalu yang diunjurkan berlarutan hingga bulan ini.
“Kekurangan bekalan ayam ini antara lain disebabkan peningkatan permintaan mendadak berikutan pembukaan semula sektor ekonomi, terutamanya hotel, restoran dan katering bermula Oktober 2021.”
Keperluan ayam dalam negara adalah 3,762 tan metrik atau 2.09 juta ekor sehari, atau 113,220 tan metrik atau 62.9 juta ekor sebulan.
Kekurangan bekalan ayam juga menyebabkan kenaikan harga ayam mencecah sehingga RM10 bagi 1kg di pasar basah dan pasar raya.
“Langkah intervensi yang diambil kerajaan ini mengambil kira semua aspek secara menyeluruh dalam memastikan bekalan ayam dalam pasaran sentiasa mencukupi dengan harga berpatutan, pada masa sama kebajikan penternak ayam tempatan juga terus dipelihara.”