2 penumpang jadi kontak rapat kes indeks Omicron negatif Covid-19, kata Khairy

2 penumpang jadi kontak rapat kes indeks Omicron negatif Covid-19, kata Khairy

Menteri Kesihatan berkata, hanya dua penumpang dalam penerbangan sama dikategorikan sebagai kontak rapat kes indeks itu.

Khairy Jamaluddin berkata, ujian saringan dua kontak rapat kes indeks varian Omicron itu ketika ketibaan dan ulangan selepas dikuarantin adalah negatif. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tiada kes baharu dikesan daripada kontak rapat yang menaiki pesawat sama dengan kes indeks varian Omicron dan sebuah premis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, pengesanan kontak rapat kes pertama varian membimbangkan (VOC) itu dibuat menerusi kerjasama dengan syarikat penerbangan.

Katanya, hanya dua penumpang dalam penerbangan sama dikategorikan sebagai kontak rapat kes indeks itu, namun ujian saringan ketika ketibaan dan ulangan selepas dikuarantin adalah negatif.

“Penumpang yang berada di empat barisan hadapan dan empat barisan belakang, kiri dan kanan, hanya dua orang sahaja boleh dikategorikan sebagai kontak rapat. Kedua-dua mereka ialah warga asing.

“Hasil ujian saringan terhadap mereka adalah negatif Covid-19, iaitu semasa ujian ketibaan dan ujian ulangan, sebelum diberi pelepasan daripada kuarantin,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Khairy berkata, pengesanan akan terus dijalankan, walaupun tiada kes baharu dikesan daripada kontak rapat dalam penerbangan sama dengan kes indeks.

Semalam, Malaysia mengumumkan pengesanan kes pertama varian Omicron daripada seorang pelajar asing yang tiba di negara ini bulan lalu.

Wanita asing berusia 19 tahun itu tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 Nov lalu dan menjalani ujian saringan RT-PCR setibanya di KLIA.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.