Pasangan berkahwin tahun lalu turun 10% akibat Covid-19, kata Uzir

Pasangan berkahwin tahun lalu turun 10% akibat Covid-19, kata Uzir

Ketua Pengarah Perangkaan berkata, kadar perkahwinan membabitkan pasangan bukan Islam turun lebih tinggi iaitu 29.4% manakala pasangan Islam hanya turun 1.8%.

PETALING JAYA:
Bilangan perkahwinan di negara ini merosot dengan ketara tahun lepas, terutama dalam kalangan bukan Islam, dedah Jabatan Perangkaan hari ini.

Menurut Laporan Perangkaan Perkahwinan dan Perceraian Malaysia 2021, terdapat penurunan keseluruhan hampir 10% dalam perkahwinan pada 2020, berbanding tahun sebelumnya.

“Jumlah perkahwinan pada 2020 ialah 184,589, berbanding 203,661 pada 2019. Itu adalah penurunan sebanyak 9.4%,” kata Ketua Pengarah Perangkaan Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun katanya, bilangan perkahwinan bukan Islam menurun pada kadar yang lebih tinggi, iaitu 29.4%.”

Uzir berkata, Johor menunjukkan penurunan tertinggi dalam perkahwinan bukan Islam sebanyak 38.4%, diikuti Sabah (-36.9%) dan Pahang (-36.3%).

Bagi perkahwinan orang Islam katanya, penurunan keseluruhan adalah minimum dengan beberapa negeri menyaksikan lebih ramai orang Islam berkahwin.

“Terdapat penurunan 1.8% dalam jumlah keseluruhan perkahwinan orang Islam, dengan tiga negeri, iaitu Wilayah Persekutuan mencatatkan penurunan tertinggi, diikuti Sabah (-19.3%), Labuan (-14.3%) dan Selangor (-5.9%).

“Sebaliknya, terdapat peningkatan yang ketara dalam kadar perkahwinan orang Islam di Putrajaya, iaitu meningkat sebanyak 14%, diikuti Perlis (12.4%) dan Kedah (8.4%),” katanya.

Laporan itu mengaitkan penurunan peratus perkahwinan berpunca daripada perintah kawalan pergerakan (PKP) dan SOP ketat yang dilaksanakan kerana wabak Covid-19 sejak Mac 2020.

PKP pertama dengan penutupan penuh dilaksanakan dari 18 Mac hingga 3 Mei dan diikuti PKP bersyarat dan PKP pemulihan sehingga akhir tahun.

Menurut Uzir, trend menurun perkahwinan pada 2020 juga turut membabitkan perkahwinan pasangan antara etnik, dengan penurunan sebanyak 35.6% berbanding tahun sebelumnya.

Laporan itu menunjukkan demografi umur bagi pasangan yang berkahwin adalah konsisten dengan tahun-tahun sebelumnya, dengan jumlah perkahwinan tertinggi melibatkan mereka yang berumur 25 hingga 29 tahun bagi kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan.

“Kami juga mendapati pengantin lelaki tertua berusia 92 tahun manakala pengantin perempuan tertua mengikat tali pertunangan pada usia 84 tahun pada 2020,” katanya.

Uzir berkata, trend berkahwin lewat lebih berleluasa di kawasan bandar.

“Senario semasa menunjukkan kecenderungan untuk berkahwin lewat adalah dalam kalangan penduduk yang berpendidikan dan bekerja. Mereka lebih gemar mengukuhkan kedudukan kewangan, khususnya yang tinggal di kawasan bandar, sebelum berkahwin,” katanya.

Beliau juga berkata, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara melaporkan bahawa penangguhan perkahwinan akan memendekkan tempoh reproduktif dan menyebabkan kadar kesuburan menurun.

“Penurunan kesuburan berkait rapat dengan peningkatan kos sara hidup dan cabaran yang dihadapi ibu bapa muda, sekali gus menyebabkan mereka menangguhkan rancangan perkahwinan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.