Kes saman berkait gangguan air, Ahli Parlimen, penduduk minta kerajaan beri dokumen siasatan

Kes saman berkait gangguan air, Ahli Parlimen, penduduk minta kerajaan beri dokumen siasatan

Ahli Parlimen Wangsa Maju Tan Yee Kew dan penduduk terbabit berkata dokumen itu penting dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi nanti.

Saman itu adalah susulan pencemaran di Sungai Gong, dekat Rawang, pada September tahun lalu, yang menyebabkan berlaku gangguan air sehingga menjejaskan 1.2 juta keluarga di Lembah Klang. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen dan 809 penduduk yang menyaman kerajaan persekutuan dan beberapa lagi pihak berhubung gangguan bekalan air tahun lalu, meminta pihak berkuasa menyediakan dokumen yang relevan mengenai siasatan insiden pencemaran di Sungai Gong, Selangor.

Dalam permohonan mereka, Ahli Parlimen Wangsa Maju Tan Yee Kew dan penduduk terbabit berkata, dokumen itu penting dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi nanti.

“Dalam pernyataan pembelaannya, kerajaan merujuk kepada sebahagian dokumen yang tidak berada dalam pengetahuan kami.

“Oleh itu, adalah penting untuk dokumen ini diserahkan kepada kami untuk kepentingan keadilan,” katanya.

Antara dokumen yang diminta oleh Tan dan penduduk itu membabitkan pemeriksaan terhadap kilang di sekitar Sungai Gong, dokumen perbicaraan berkaitan kes mahkamah terhadap pengarah dan pengurus bengkel Yip Chee Seng & Sons dan laporan rasmi mengenai pencemaran Sungai Gong pada 3 Sept 2020.

Tan dan penduduk memfailkan saman di Mahkamah Tinggi pada April lalu terhadap Yip Chee Seng & Sons, pihak berkuasa negeri dan kerajaan persekutuan berhubung gangguan bekalan air selama empat hari di Lembah Klang bermula 3 Sept tahun lalu.

Mereka mahu mahkamah mengisytiharkan bahawa Yip Chee Seng & Sons bertanggungjawab atas kecuaian dan mengisytiharkan bahawa pihak berkuasa awam termasuk negeri dan kerajaan persekutuan, telah melanggar tugas statutori dalam mengekalkan tahap kualiti air.

Mereka turut menuntut ganti rugi kerana terjejas teruk akibat gangguan bekalan air itu.

Turut dinamakan sebagai defendan adalah Menteri Besar, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran.

Air Selangor dan sebuah syarikat, Pakar Scieno TW Sdn Bhd turut dinamakan dalam saman berkenaan.

Kerajaan persekutuan dalam pembelaannya berkata, pegawainya telah melakukan pemeriksaan di premis Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd pada 17 dan 18 Mac 2020 dan mendapati tiada sisa buangan berbahaya dibuang ke dalam sungai.

Pegawai juga tidak menemui sebarang efluen di bengkel semasa pemeriksaan pada 3 Sept 2020. Mereka hanya menemui penapis minyak terpakai, minyak pelincir dan bateri kereta terpakai.

Empat pengarah dan seorang pengurus Yip Chee Seng & Sons’ didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang tahun lalu atas dakwaan membuang bahan buangan berbahaya ke dalam sungai terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.