
Azni Zarina Taha, dari Jabatan Pengurusan di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya, berkata insentif-insentif itu akan memastikan syarikat-syarikat boleh pulih daripada kesan sekatan Covid-19 dengan lebih cepat.
Bagaimanapun kerajaan perlu mengimbangi pelepasan cukai dan kutipan hasil.
“Kita tidak boleh buat perkara ini lama-lama, tapi sebagai langkah jangka masa pendek ini boleh memacu pelancongan. Hal ini rumit kerana kerajaan perlu berbelanja untuk menguruskan pandemik, dan syarikat pula terpaksa harungi sekatan dan mengurangkan kapasiti.”
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 mengumumkan tujuh inisiatif penting berjumlah RM1.6 bilion untuk menghidupkan semula sektor pelancongan, yang teruk terjejas akibat pandemik Covid-19.
Inisiatif-inisiatif itu termasuk pelepasan cukai, subsidi upah untuk pengusaha pelancongan, pembiayaan, dana promosi, dan penyelenggaraan prasarana pelancongan.
Tengku Zafrul berkata kerajaan akan melanjutkan beberapa insentif cukai, termasuk pengecualian cukai pendapatan untuk penganjur kegiatan seni dan kebudayaan, serta pertandingan sukan dan rekreasi antarabangsa sehingga tahun taksiran 2025.
Pengecualian ke atas duti hiburan, termasuk bagi taman tema dan pawagam di Wilayah Persekutuan, dan pengecualian cukai pelancongan akan dilanjutkan sehingga 31 Dis 2022.
Selain itu, pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 untuk perbelanjaan pelancongan domestik akan dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2022.
Azni menyifatkan situasi antara pelepasan cukai dan kutipan hasil ini ‘bagai isi dengan kuku’, kerana untuk jangka masa panjang kerajaan perlu memikirkan tentang menambah kutipan cukai agar lebih banyak geran boleh disediakan, seperti dana sepadan RM50 juta untuk syarikat-syarikat menganjurkan program berkaitan kesenian dan kebudayaan.
“Kerajaan perlu fikirkan berapa lama ia boleh menanggung semua kos ini tanpa sebarang hasil.”