
ADUN Gombak Setia Hilman Idham, turut mendakwa Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) membayar RM10,000 kepada setiap ahli lembaga pengarahnya.
Beliau memberitahu Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, LLSB pernah didakwa lemah dalam melaksanakan kerja pembersihan serta mengutip sampah sungai oleh Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI).
Hilman mendakwa, syarikat itu menanggung kerugian dalam tempoh tiga tahun berdasarkan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
“Menurut laporan audit itu juga, LLSB tidak mampu membayar hutang yang dipinjamnya daripada kerajaan negeri berjumlah RM45 juta.
“Malah mengikut rekod SSM, syarikat ini rugi dianggarkan sekitar RM35 juta hingga RM40 juta dalam tempoh tiga tahun,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Sementara itu, Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Izham Hashim, menjelaskan semua isu dikemukakan Hilman sudah dijawab oleh LLSB kepada MBI.
“Mana-mana pihak yang curiga berhubung perkara ini boleh membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” tegasnya.
Projek Pemuliharaan dan Pembangunan Sungai Klang yang dikenali sebagai Selangor Maritime Gateway (SMG) adalah program 15 tahun untuk pemuliharaan dan pembangunan sepanjang kawasan sungai berkenaan.
Pada Mac 2018, kerajaan memilih LLSB, syarikat milikan penuh MBI, sebagai pemaju induk bagi melaksanakan projek-projek di bawah SMG.