
Presiden Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Sabah (SEPA) Alexander Yee berkata, mereka harus dibenarkan untuk meneliti sebarang projek berskala besar seperti itu.
Katanya kepada FMT, SEPA terkejut dengan keputusan kerajaan untuk melaksanakan projek itu berbanding sistem pengangkutan yang lebih mesra pengguna seperti bas.
“Namun kita gembira kerana kerajaan negeri akhirnya meneliti sistem pengangkutan awam. Oleh itu, kami meminta rundingan awam dan ketelusan dalam cadangan pembangunan ini,” katanya.
Menurut laporan, projek itu akan dilaksanakan secara dua peringkat membabitkan laluan sejauh 10.5km dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu ke pusat bandar dan Jesselton New City. Tempoh pembinaannya dijangka mengambil masa tiga tahun dengan kos RM1 bilion.
Jesselton New City adalah sebuah kompleks pembangunan komersil bercampur seluas 64 hektar yang akan dibina berhampiran Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di Likas Bay.
Fasa kedua yang melibatkan kos RM1.4 bilion juga akan mengambil masa tiga tahun dengan jarak sejauh 15km dari Jesselton New City ke bangunan pentadbiran kerajaan, Universiti Malaysia Sabah dan kawasan kediaman dan komersil di Likas.
Timbalan Ketua Menteri Bung Moktar Radin baru-baru ini menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama empat hala berhubung projek berkenaan.
Empat pihak itu adalah Vizione Construction Sdn Bhd, Sycal Skycity Sdn Bhd, Guangcai China (M) Sdn Bhd dan Warisan Harta Sdn Bhd, yang juga anak syarikat cabang pelaburan negeri, Qhazanah Sabah Bhd.
Mengenai projek penambakan di Likas Bay, Yee berkata, beliau meletakkan kepercayaan pada kerajaan negeri untuk membuat pertimbangan secara bijak, selain menambah bahawa ia juga pernah menolak cadangan sama atas pelbagai alasan.
“Salah satu alasan ialah kurangnya rundingan awam dan kita pastinya percaya sejarah boleh memberi pengajaran berguna kepada pentadbir untuk membangunkan Sabah,” katanya.
“Namun kita ingin menekankan kepentingan melaksanakan penilaian impak terhadap alam sekitar dan mendedahkan penemuan itu.”
Seorang ahli biologi marin, Nicolas Pilcher berkata, dia percaya projek itu akan menimbulkan sedikit kebimbangan terhadap alam sekitar sekali gus menyeru supaya pihak terbabit meneliti aspek pengurusan sisa buangan dengan lebih serius.