Adakah Malaysia kini dilanda ‘mania penasihat’, soal Kit Siang

Adakah Malaysia kini dilanda ‘mania penasihat’, soal Kit Siang

Veteran DAP itu mempersoalkan pelantikan penasihat khas Perdana Menteri bagi portfolio yang sudah mempunyai menteri.

Lim Kit Siang turut mengkritik pelantikan utusan khas ke rantau tertentu sedangkan Malaysia sudah mempunyai duta ke setiap negara.
PETALING JAYA:
Veteran DAP Lim Kit Siang bertanya sama ada “mania penasihat” sedang melanda negara berikutan laporan bahawa Perdana Menteri akan mendapatkan seorang lagi penasihat khas, kali ini mengenai hal-hal kesihatan.

Beliau tertanya-tanya sama ada Ismail Sabri Yaakob akhirnya akan mempunyai 31 penasihat khas, membayangi 38 menteri, dengan setiap menteri turut mempunyai penasihat khas.

Ini susulan pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad semalam bahawa Ismail akan melantik penasihat kesihatan untuk membantunya.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen, Latiff berkata, terdapat tiga peranan penasihat khas kepada Perdana Menteri, iaitu mengenai undang-undang dan hak asasi manusia, hal ehwal agama, dan kesihatan.

Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said dan Pengerusi Umno Kedah Jamil Khir Baharom masing-masing telah dilantik sebagai penasihat undang-undang dan hal ehwal agama, manakala penasihat hal-hal kesihatan “masih dalam proses lantikan”, katanya.

Terdahulu dilaporkan setiap pelantikan penasihat khas Perdana Menteri menelan belanja RM50,000 sebulan, termasuk kakitangan dan operasi pejabat masing-masing.

Lim berkata, mesyuarat mingguan Jemaah Menteri mungkin tidak lagi perlu diadakan pada masa hadapan memandangkan ia boleh diganti dengan mesyuarat mingguan penasihat khas.

“Apakah justifikasi pelantikan penasihat khas Perdana Menteri bagi portfolio yang sudah ada menterinya?” soal Lim dalam kenyataan.

“Bukankah ini mencerminkan (Ismail) kurang yakin terhadap menteri-menteri berkenaan?”

Lim turut mengkritik pelantikan yang tidak perlu dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan utusan khas serantau sedangkan sudah ada duta ke setiap negara.

Katanya, tidak masuk akal untuk mempunyai utusan khas ke Timur Tengah “yang tidak boleh mengunjungi Arab Saudi”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.