
Hakim Mahkamah Tinggi Azman Abdullah ketika membebaskan M Chinnammah, 56, berkata pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie selepas memanggil 14 saksi.
Chinnammah didakwa membunuh M Pichai, 70, di sebuah rumah di Pekan Jelai, Bahau, antara jam 11.30 malam dan 5.20 pagi pada 30 Jun 2017.
Dalam penghakiman lisannya, Azman berkata bukti berkaitan cucu mangsa menimbulkan syak kerana gelang emas Pichai ditemui dalam milikannya selepas kematian warga emas itu.
“Tambahan, laporan kimia menunjukkan DNA cucu mangsa terbenam dalam semua kuku mangsa yang jelas menunjukkan pergelutan dengan saksi itu,” katanya.
Azman berkata, terdapat keraguan sama ada Chinnammah membunuh ibunya selepas “penelitian maksimum” bukti dikemukakan semua saksi pendakwaan.
Peguam Paul Krishnarajah dan Goh Chee Kian mewakili Chinnammah manakala Timbalan Pendakwa Raya Rahimah Abdul Majid hadir bagi pihak pendakwaan.