KL dah macam London, jalan, bangunan baharu semua nama Inggeris, kata Nazri

KL dah macam London, jalan, bangunan baharu semua nama Inggeris, kata Nazri

Ahli Parlimen Padang Rengas itu menyatakan bahawa nama bangunan dan kawasan baharu di Kuala Lumpur seperti 'Bangsar South' menggunakan nama Inggeris.

Nazri Aziz bertanya kepada Kementerian Wilayah Persekutuan mengapa Bangsar South tidak boleh dinamakan semula sebagai Bangsar Selatan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Umno Nazri Aziz hari ini mendakwa Kuala Lumpur sudah “hilang identitinya” berikutan banyak bangunan dan kawasan kediaman diberi nama Inggeris.

Ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, beliau berkata, taktik sedemikian digunakan untuk meningkatkan jualan dan penghuni.

“Kuala Lumpur sudah jadi seperti London kerana jalan raya dan bangunan baharu diberi nama Inggeris,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 bagi Kementerian Wilayah Persekutuan di peringkat jawatankuasa.

Nazri turut memetik nama Hampshire Residences dan Bangsar South sebagai contoh.

Beliau juga bertanya kepada kementerian mengapa Bangsar South tidak boleh dipanggil “Bangsar Selatan”.

Pada 2019, dilaporkan bahawa nama Bangsar South secara rasmi dikembalikan kepada nama asal iaitu Kampung Kerinchi.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu juga memberitahu kementerian bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bertanggungjawab meluluskan nama bangunan dan kawasan.

Beliau berkata, terdapat dakwaan bahawa nama itu perlu ditukar bagi menarik lebih ramai pembeli membeli ruang pejabat dan rumah.

Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) berkata, beliau bersetuju dengan Nazri dan memberitahunya supaya menggunakan dan mempromosikan nama seperti Kampung Kerinchi di luar negara, termasuk Eropah.

Nazri berkata, nama sesuatu tempat dikaitkan dengan identitinya dan harga rumah dikaitkan dengan lokasi, bukannya nama.

“Malah nama Kuala Lumpur hanya merujuk kepada ‘lumpur’, ” katanya yang menggesa kementerian menjaga nama tempat asal supaya ia mencerminkan identiti masing-masing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.