Dedah butiran penuh perjanjian karbon di Sabah, gesa Wong Chen

Dedah butiran penuh perjanjian karbon di Sabah, gesa Wong Chen

Beliau menggesa kerajaan negeri telus, dedahkan semua dokumen dan surat-menyurat yang membawa kepada Perjanjian Pemuliharaan Alam Sekitar.

NGO di Sabah mempertikaikan Perjanjian Pemuliharaan Alam Sekitar walaupun diberi jaminan hutan terlindung tidak akan dieksploitasi. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Seorang pemimpin PKR mendesak kerajaan Sabah mendedahkan butiran penuh perjanjian kredit karbon kontroversi yang telah dipersetujui dengan sebuah firma Singapura.

Ahli Parlimen Subang Wong Chen berkata, Perjanjian Pemuliharaan Alam Sekitar itu meliputi dua juta hektar tanah hutan negeri selama tempoh 100 tahun.

Katanya, menurut laporan sepanjang tempoh itu 30% keuntungan daripada kredit karbon dihasilkan akan dibayar kepada firma Hoch Standard Pte Ltd.

“Paling membimbangkan, Timbalan Ketua Menteri Jeffrey Kitingan ketika mempertahankan perjanjian itu berkata, Sabah mampu meraih kredit karbon bernilai RM3.2 bilion daripada dua juta hektar hutan itu setahun.

“Jika jumlah itu sahih, kerajaan negeri perlu menjelaskan kenapa Hoch Standard patut dibayar RM960 juta setahun untuk 100 tahun akan datang,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen, hari ini,

Beliau mempertikaikan pembahagian untung 30% kepada syarikat asing yang tidak dikenali dengan modal berbayar hanya sebanyak USD1,000.

“Ini tanda amaran besar dalam tadbir urus yang boleh menakutkan bakal pembeli kredit karbon antarabangsa dan tempatan. Jika perjanjian ini dilengkapkan ia juga akan menjadi contoh buruk untuk semua perjanjian kredit karbon pada masa akan datang di Malaysia.

“Saya menggesa kerajaan Sabah mendedahkan semua dokumen dan surat-menyurat yang membawa kepada perjanjian karbon ini. Ia mesti telus sepenuhnya.”

Menurut pihak berkuasa perhutanan Sabah, perjanjian itu tidak membenarkan eksploitasi hutan terlindung negeri itu. Objektif utamanya adalah untuk pemuliharaan dan perlindungan hutan hujan menerusi pengewangan karbon yang disimpan dalam pokok, selain memanfaatkan modal semula jadi dalam persekitaran hutan.

Bagaimanapun, NGO Sabah terus mempertikaikan perjanjian itu terutama kekurangan ketelusannya. Perjanjian itu hanya diketahui selepas dilaporkan media.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.