
Antaranya Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim yang berkata, ini kerana usul berkenaan bukan hanya melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tetapi lebih daripada satu kementerian.
“Perlu dibahaskan di Dewan Rakyat dan bukan kamar khas.
“Usul ini melibatkan Kementerian Pertanian dan Kewangan juga. (Jika) di kamar khas akan terbatas,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian ketika menggesa Timbalan Speaker Mohd Rashid Hasnon mengkaji semula keputusan membenarkan usul kenaikan harga barang dibahas di kamar khas.
Sebelum itu, Rashid berkata, usul membahaskan isu kenaikan harga barang yang dibawa oleh Salahuddin Ayub (PH-Pulai) diputuskan untuk dibenarkan dibahas di kamar khas.
Dalam pada itu, Anwar berkata, isu kenaikan harga barang perlu dibahaskan di Dewan Rakyat kerana rakyat sedang menanti tindakan segera daripada kerajaan.
Beliau mendakwa, hasil tinjauannya di lapangan, ramai rakyat miskin yang berpendapatan rendah (B40) tidak makan lagi sayur dan ayam “selama berminggu-minggu”.
“Kerajaan perlu beri ketegasan segera, iaitu hari ini atau esok untuk redakan tekanan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) bersetuju dengan gesaan Anwar dan berkata isu berkenaan melibatkan Keluarga Malaysia.
“Saya mohon cadangan Ketua Pembangkang supaya isu berat seperti ini perlu dibahaskan di Dewan Rakyat,” katanya.