KL City juara Piala Malaysia, Wilayah Persekutuan cuti Jumaat

KL City juara Piala Malaysia, Wilayah Persekutuan cuti Jumaat

Tanda penghargaan kepada semua penyokong dan pemain memberikan sepenuh komitmen hingga bergelar juara Piala Malaysia.

KL City FC menamatkan 32 tahun kemarau kejuaraan Piala Malaysia selepas menewaskan JDT 2-0 pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Wilayah Persekutuan akan diberikan cuti khas peristiwa pada Jumaat ini, sempena kejayaan pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City) menjuarai Piala Malaysia selepas menundukkan Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0, semalam.

Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim, berkata pemberian cuti khas berkenaan sebagai tanda meraikan dan memberikan penghargaan kepada semua penyokong yang memberikan sepenuh komitmen dan sokongan kepada KL City FC dalam mengharumkan nama Wilayah Persekutuan.

Cuti khas itu, katanya membabitkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Keputusan pengisytiharan cuti khas peristiwa ini adalah selaras dengan peruntukan kuasa diberikan mengikut Seksyen 9 (2) Akta Hari Kelepasan Am Tambahan 1951 (Akta 369).

“Bagi menghargai jasa pemain, kami sedang memikirkan bentuk imbuhan untuk pemain dan pasukan KL City FC yang diumumkan dalam masa terdekat.

“Kita tahu mereka bermain bermati-matian untuk mengejar juara dan jasa pengorbanan mereka perlu dihargai,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, KL City menamatkan 32 tahun kemarau kejuaraan Piala Malaysia selepas menewaskan JDT.

Kejayaan itu membolehkan KL City FC merangkul Piala Malaysia ke-100 tahun dan mengesahkan kejuaraan tanpa sebarang kekalahan dalam kempen piala tertua di Malaysia malah turut meraih tiket ke Piala AFC musim depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.