Selangor akur jajaran ECRL lalui utara, ikut jajaran ilham era BN

Selangor akur jajaran ECRL lalui utara, ikut jajaran ilham era BN

Selangor juga sudah bersetuju memuktamadkan perjanjian mengenai perubahan jajaran itu, esok.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dijangka membuat kenyataan lanjut mengenai jajaran ECRL, esok. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Selangor yang sebelum ini bertegas mahu jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) melalui selatan negeri itu akhirnya akur projek itu kembali ke jajaran utara seperti diilhamkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Sumber yang dekat dengan perkara itu memberitahu FMT, Selangor sudah bersetuju untuk memuktamadkan perjanjian mengenai perubahan jajaran berkenaan.

“Secara dasarnya, ya. Menteri Besar Selangor dijangka membuat kenyataan lanjut mengenai perkara itu esok ,” kata sumber ketika ditanya sama ada Selangor bersetuju dengan jajaran asal ketika era BN.

Menerusi satu jemputan media, satu majlis menandatangani perjanjian tambahan ke-6 (SA6) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), pemilik pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC), kontraktor utama projek bernilai RM50 bilion itu akan diadakan esok di sebuah hotel di ibu negara pada jam 2.30 petang.

Menteri Besar Amirudin Shari, dijangka hadir pada majlis yang dihadiri Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.

Sebelum ini, Selangor bertegas mahu jajaran ECRL berada di selatan Selangor, melintasi Hutan Simpan Kuala Langat Utara, selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada April melakukan jajaran semula projek itu mengikut cadangan diilhamkan pentadbiran BN.

Berdasarkan penjajaran asal BN, ECRL akan melalui Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum memasuki Selangor dari utara, melalui Gombak dan menuju ke Serendah dan Pelabuhan Klang.

Pentadbiran PH ketika itu mengubah jajaran berkenaan supaya tidak melalui Bentong dan Gombak seperti dirancang pada awalnya. Ia bertujuan mengelakkan pembinaan terowong sepanjang 17.8km yang berkos tinggi melalui Ridge Quartz Klang Gates, khazanah alam semula jadi rabung kuarza tulen terpanjang di dunia.

Sebaliknya dari Mentakab ia menuju ke selatan melalui Kuala Klawang di Negeri Sembilan sebelum memasuki Selangor melalui Bangi/ Kajang dan kemudian menuju ke Putrajaya Sentral dan akhirnya ke Pelabuhan Klang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.