
Pengasas Engender Consultancy, iaitu sebuah NGO masyarakat, Omna Sreeni-Ong berharap rumah perlindungan itu dapat menyediakan penempatan selamat yang mengutamakan mangsa selain berpandukan pendekatan bermaklumat mengenai trauma dan responsif gender dalam semua bidang operasinya.
“Kami berharap peruntukan itu meliputi rumah perlindungan bagi mangsa yang diseludup masuk ke negara ini, terutama di negeri seperti Sarawak yang tidak mempunyai rumah perlindungan untuk mangsa terbabit. Rumah perlindungan ini haruslah lebih baik berbanding rumah sedia ada.
“Oleh itu, ia harus dibentuk menurut garis panduan dan piawaian yang mengambil kira penilaian ke atas rumah perlindungan sedia ada,” katanya kepada FMT.
Menurut Ong, pemantauan dan penilaian impak di setiap peringkat pelaksanaan amat penting bagi memastikan peruntukan itu digunakan secara berkesan.
Dalam pada itu, Ong menyambut baik pendirian kerajaan yang mengambil peduli masalah kemiskinan haid sebagai isu penting yang perlu diberi perhatian.
Beliau turut menyarankan agar 130,000 kit kebersihan diri yang disediakan turut disertakan dengan bahan-bahan untuk memupuk kesedaran.
“Kita perlu faham bahawa isu ini bukan sahaja mengenai kekangan untuk mendapatkan produk berkaitan haid tetapi juga kemudahan yang bersih dan selamat, air, pengurusan sisa, serta pendidikan dan kesedaran mengenai keperluan kebersihan diri golongan wanita.”
“Kerajaan wajar melakukan libat urus dengan pertubuhan-pertubuhan yang sedang menangani masalah ini supaya ia boleh turut sama memupuk kesedaran sambil mengedarkan kit itu.
“Kerajaan wajar mengumpul data daripada wanita dan pihak berkaitan yang terkesan supaya ia lebih faham akan realiti kemiskinan haid di lapangan.”
Sementara itu, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) berharap rumah perlindungan akan benar-benar memberi manfaat menyeluruh kepada wanita dan kanak-kanak mangsa keganasan, selain berkata, lebih banyak lagi yang harus dilakukan.
Pegawainya Kiran Kaur berkata, walaupun komitmen kerajaan jelas kelihatan dalam Bajet 2022 susulan peningkatan insiden keganasan berasaskan jantina, namun ia tidak spesifik.
“Perlu sediakan peruntukan yang secukupnya untuk rumah perlindungan dan ruang selamat untuk wanita agar Malaysia mempunyai tempat berlindung secukupnya bagi mangsa keganasan, selain rumah tersebut mempunyai langkah keselamatan Covid-19,” katanya.
Kiran berkata, standard minimumnya ialah satu keluarga dalam rumah perlindungan wanita bagi setiap 10,000 orang penduduk, berbanding satu keluarga setiap 72,538 orang sekarang.
“Justeru Malaysia perlu menambah bilangan rumah perlindungan sebanyak kira-kira 7.13 kali ganda kepada 314 buah. Menurut data 2019, kita sekarang ini hanya mempunyai 43 rumah perlindungan,” katanya.