Namakan vaksin buatan Malaysia ‘bossku’, cadang bekas timbalan menteri

Namakan vaksin buatan Malaysia ‘bossku’, cadang bekas timbalan menteri

Hanipa Maidin berkata nama jolokan Perdana Menteri Najib Razak' itu seolah-olah mempunyai kesan ‘magik’.

Hanipa Maidin berkata, menamakan vaksin buatan Malaysia sebagai ‘Pekan’ atau ‘bossku’ sempena nama gelaran Najib Razak memberi ‘impak kuat’.
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang hari ini mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan untuk menamakan vaksin Covid-19 buatan Malaysia sebagai “Bossku” atau “Pekan”, mengambil kira populariti bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Hanipa Maidin (PH-Sepang) berkata, nama gelaran “Bossku” yang diberikan oleh penyokong Najib seolah-olah mempunyai satu “impak kuat”, namun kerajaan mungkin perlu bertanya terlebih dulu kepada Ahli Parlimen Pekan itu.

“Jika kita cipta vaksin baharu kemudian, kita boleh memanggilnya vaksin ‘Pekan’ atau ‘Bossku’…ada macam satu bola magik dengan ‘title’ Bossku itu…untuk dapat impak yang kuat,” katanya di Dewan Rakyat ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 pada peringkat jawatankuasa untuk Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Terdahulu, Hanipa yang juga bekas Timbalan Menteri Undang-undang ketika pentadbiran PH, menyoal sejauh mana Pusat Vaksin Kebangsaan bersedia menghadapi sebarang ancaman daripada pandemik lain pada masa akan datang.

Menurut laporan, MOSTI memperuntukkan hampir RM60 juta untuk penyelidikan dan pembangunan vaksin Covid-19 tempatan bagi mengurangkan kebergantungan pada bekalan vaksin dari negara lain.

Timbalan Menterinya, Ahmad Amzad Hashim berkata, daripada peruntukan itu, RM54 juta diperuntukkan untuk Institut Genom Malaysia, manakala RM2.5 juta untuk pasukan penyelidikan membangunkan vaksin menggunakan teknologi “Messenger Ribonucleic Acid” (mRNA).

“Sebanyak RM2.5 juta lagi diperuntukkan untuk pembangunan vaksin daripada toksin tak teraktif yang dihasilkan kuman di Universiti Putra Malaysia (UPM),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.