Maksud ‘keselamatan awam’ perlu ditakrif dengan jelas mengikut SOSMA, kata SUARAM

Maksud ‘keselamatan awam’ perlu ditakrif dengan jelas mengikut SOSMA, kata SUARAM

Timbul risiko seseorang boleh ditahan secara salah akibat ketidakjelasan takrifan.

Hak melanjutkan tempoh tahanan tanpa bicara harus diberikan kepada majistret, bukan polis, kata SUARAM.
PETALING JAYA:
Terdapat keperluan meminda takrifan “keselamatan awam” kerana ia kini tidak jelas mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA), kata Suara Rakyat Malaysia (SUARAM).

Penyelaras Hak untuk Dibicarakan Azura Nasron berkata, terdapat risiko seseorang boleh ditahan secara salah akibat ketidakjelasan itu.

“Undang-undang keselamatan yang melanggar hak untuk dibicarakan secara adil terus disalah guna sepanjang 2021,” katanya dalam laporan terbaru SUARAM mengenai hak asasi di Malaysia.

“Oleh itu, terdapat keperluan menjelaskan takrifan istilah ‘keselamatan awam’ untuk melindungi semua orang.”

Azura berkata, seseorang tahanan perlu disediakan khidmat guaman sebagai langkah awal bagi memastikan perbicaraan adil.

Kebiasannya beliau berkata, tahanan tidak diberi akses kepada khidmat guaman semasa memberi keterangan dan ia jelas mencabuli hak mereka.

Beliau berkata, terdapat juga keperluan untuk merombak perintah reman 28 hari mengikut SOSMA, selain menambah bahawa hak untuk melanjutkan tempoh tahanan harus diberikan kepada majistret, bukan polis.

“Ini harus ditambah dengan justifikasi merit dan alasan munasabah untuk berbuat demikian oleh pegawai penyiasat.

“Mahkamah juga harus diberi kuasa untuk menyemak semua isu pentadbiran,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Dokumentasi dan Pemantauan SUARAM Kenneth Cheng berkata, tiada tanda-tanda penggunaan undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara akan dihentikan.

Katanya, SOSMA digunakan sebagai undang-undang terhadap individu yang mengeluarkan kenyataan yang didakwa menghasut atau menimbulkan ketakutan masyarakat awam.

Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia turut kerap digunakan terhadap aktivis politik, katanya.

“Jumlah siasatan bawah dua undang-undang bersifat menindas ini meningkat pada 2021.

“Pelaksanaan Ordinan Berita Palsu semasa tempoh darurat juga memudaratkan kebebasan bersuara di Malaysia,” katanya, selain menambah bahawa kebebasan media juga tidak terkecuali.

Mengenai hukuman mati, Cheng berkata, setakat September, jumlah banduan yang dihukum mati di negara ini adalah 1,366 orang dengan majoritinya individu yang disabitkan kesalahan mengedar dadah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.