Kartel dalam imigresen bersekongkol sindiket keluar pas kerja, kata Hamzah

Kartel dalam imigresen bersekongkol sindiket keluar pas kerja, kata Hamzah

Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin memberi amaran pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap pegawai yang bersekongkol dengan kartel itu.

Hamzah Zainudin berkata, kartel dalam Jabatan Imigresen bekerjasama dengan sindiket luar untuk mengeluarkan Pas Lawatan Kerja Sementara.
PUTRAJAYA:
Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan kewujudan kartel dalam Jabatan Imigresen membabitkan pegawai pelbagai peringkat.

Menterinya, Hamzah Zainudin berkata, kartel berkenaan melibatkan pegawai tertentu yang bekerjasama dengan sindiket luar untuk mengeluarkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

“Kartel ini bukan hanya nak naikkan pangkat, kartel ini menggunakan pegawai tertentu yang bekerjasama dengan sindiket luar.

“Di Sabah baru-baru ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri II (Jonathan Yasin) memaklumkan kepada saya ada iklan memaparkan sesiapa sahaja yang nakkan PLKS ini boleh berjumpa dengan orang-orang ini.

“Ini sesuatu yang tidak bertanggungjawab…ia tidak boleh berlaku sekiranya mendapat pas PLKS yang sah tanpa penggunaan pegawai dalaman kita,” katanya pada sidang media sempena sambutan Hari Imigresen 2021.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap pegawai yang bersekongkol dengan kartel itu.

“Kita akan siasat sehabis-habisnya kerana sindiket ini menggunakan pegawai dalaman imigresen daripada beberapa peringkat.

“Sebab itu saya sudah maklumkan kepada pegawai imigresen sebentar tadi bahawa sekiranya perkara ini berlaku, kita akan ambil tindakan sewajarnya,” tegas Hamzah.

Terdahulu, Hamzah dalam ucapan perasmiannya mendedahkan timbul isu integriti membabitkan individu dalam jabatan itu.

“Ada di kalangan kita yang menjual maruah, menjual imej negara…ada kartel bebas keluar masuk di Jabatan Imigresen…ada kartel-kartel yang duduk di lapangan terbang dan pintu masuk dan begitu bebas.

“Saudara, kita tak mahu perkara ini timbul lagi, sebab itu saya memikirkan tanggungjawab kita agar kita dapat tangani cabaran ini dengan menundukkan kartel dan orang luar yang dapat merosakkan imej Jabatan Imigresen.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.