Individu Muslim tak boleh jadi pihak dalam pertikaian perkahwinan bukan Islam

Individu Muslim tak boleh jadi pihak dalam pertikaian perkahwinan bukan Islam

Mahkamah Persekutuan memutuskan peruntukan Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (LRA) jelas menyatakan bahawa umat Islam dikecualikan.

Kes berkenaan berkaitan rayuan seorang isteri untuk memasukkan seorang wanita beragama Islam sebagai responden bersama dalam petisyen pemisahan kehakiman terhadap suaminya. (Gambar Reuters)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan memutuskan individu beragama Islam tidak boleh dinamakan sebagai pihak dalam pertikaian perkahwinan yang melibatkan pasangan suami isteri bukan Islam, di Mahkamah Sivil.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat ketika menyampaikan keputusan majoriti 2-1 panel tiga hakim, berkata Seksyen 3(3) Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (LRA) dengan jelas memperuntukkan bahawa umat Islam dikecualikan daripada permohonan LRA.

Bagaimanapun, katanya undang-undang itu terpakai terhadap mualaf dalam kes melibatkan pasangan bukan Islam yang memfailkan petisyen selepas tindakan memeluk Islam iaitu selepas perkahwinan sivil mereka.

Beliau berkata, tujuan LRA itu bukan sahaja untuk mengawal perkahwinan dan perceraian orang bukan Islam, malah sebagai pemisah undang-undang berasingan bagi orang Islam dan bukan Islam di negara ini.

“Ini adalah berdasarkan Perkara 121 (A) Perlembagaan Persekutuan mengenai prinsip pemisahan bidang kuasa di antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah,” menurutnya dipetik Bernama.

Keputusan yang disokong Hakim Mohd Zawawi Salleh itu menolak rayuan seorang wanita yang identitinya tidak didedahkan. Bagaimanapun, Hakim Nallini Pathmanathan yang turut sama bersidang, membuat penghakiman menentang.

Kes berkenaan berkaitan rayuan seorang isteri berhubung permohonannya untuk memasukkan seorang wanita sebagai responden bersama dalam petisyen pemisahan kehakiman yang difailkan pada Julai tahun lepas di Mahkamah Tinggi terhadap suaminya.

Dalam tuntutannya isteri berkenaan mendakwa perkahwinannya musnah selepas suaminya membuat hubungan sulit dengan wanita beragama Islam itu.

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa individu beragama Islam boleh dinamakan sebagai responden bersama dalam petisyen perceraian dan bukannya dalam pemisahan kehakiman, susulan itu mahkamah tiada bidang kuasa untuk mengecam responden bersama bagi ganti rugi di bawah Seksyen 58 LRA.

Dalam perceraian, kontrak perkahwinan dibatalkan manakala dalam kes pemisahan kehakiman, perkahwinan itu terus kekal tetapi pasangan terlibat dibenarkan tinggal berasingan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.