Indeks kesejahteraan rakyat turun 2.1% tahun lalu kesan Covid-19

Indeks kesejahteraan rakyat turun 2.1% tahun lalu kesan Covid-19

Prestasi indeks pada 2020 menunjukkan hampir kesemua komponen kesejahteraan terkesan dengan penularan pandemik Covid-19.

Mohd Uzir Mahidin berkata sepanjang tahun lalu, landskap sosioekonomi negara mengalami momentum yang tidak menentu berikutan krisis kesihatan dan ekonomi. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) bagi 2020 menurun 2.1% kepada 118.3 mata, berbanding 120.8 mata pada 2019, yang berpunca daripada pandemik Covid-19, kata Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin.

Secara keseluruhan, katanya prestasi IKRM pada 2020 menunjukkan hampir kesemua komponen kesejahteraan terkesan dengan penularan pandemik Covid-19.

“Sepanjang tahun lepas, landskap sosioekonomi negara mengalami momentum yang tidak menentu berikutan krisis kesihatan dan ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Laporan IKRM diterbitkan untuk mengukur tahap kesejahteraan rakyat Malaysia daripada perspektif ekonomi dan sosial yang terdiri daripada lima komponen ekonomi dan sembilan komponen sosial.

Lima komponen ekonomi ialah pengangkutan, komunikasi, pendidikan, pendapatan dan pengagihan serta persekitaran kerja, manakala sembilan komponen sosial ialah perumahan, hiburan dan rekreasi, keselamatan awam, penyertaan sosial, tadbir urus, kebudayaan, kesihatan, alam sekitar dan keluarga.

IKRM yang mengukur perkembangan kesejahteraan rakyat juga menunjukkan kesejahteraan ekonomi telah menurun 3.4% kepada 126.2 mata manakala kesejahteraan sosial pula menurun 12.1% kepada 114.0 mata.

Menurut Mohd Uzir, tiga indeks dalam kesejahteraan ekonomi yang mencatatkan penurunan ketara adalah komponen pendapatan dan pengagihan (9.7%), komponen pengangkutan (-7.4%) dan komunikasi (0.4%).

Dari segi kesejahteraan sosial pula, komponen kebudayaan menurun 16.1% diikuti hiburan dan rekreasi (-15.7%), tadbir urus (-0.9%) serta keluarga (-0.4%).

Bagaimanapun, katanya komponen keselamatan awam meningkat 10.9% diikuti kesihatan (5.6%), alam sekitar (2.7%) dan penyertaan sosial (2.5%).

Mohd Uzir berkata, peningkatan komponen tersebut adalah disebabkan penurunan kadar jenayah, kemalangan jalan raya, pengutamaan penjagaan kesihatan dan penyertaan aktif sukarelawan yang menawarkan bantuan kepada golongan terjejas akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.