DBKL lancar perang saraf terhadap perokok

DBKL lancar perang saraf terhadap perokok

Antara inisiatif kempen perang saraf itu adalah melalui tayangan video di dalam koc LRT dan MRT serta paparan papan iklan di kawasan sekitar Kuala Lumpur.

Perokok boleh dikompaun sebanyak RM10,000, bahkan dipenjara selama dua tahun jika ditangkap merokok di tempat awam, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur Mahadi Che Ngah.
KUALA LUMPUR:
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melancarkan perang saraf menerusi Kempen Kuala Lumpur Bebas Asap Rokok (KLBAR) bagi mengawal tabiat merokok dalam kalangan penduduk ibu negara.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Mahadi Che Ngah, berkata antara inisiatif kempen itu adalah melalui tayangan video di dalam koc LRT dan MRT serta paparan papan iklan (billboard) di kawasan sekitar Kuala Lumpur mengenai larangan merokok di tempat awam.

“Tabiat merokok ini bukan sahaja satu tabiat yang boleh menjejaskan kesihatan individu dan orang lain malah boleh menyumbang kepada isu persekitaran iaitu puntung yang dibuang merata-rata boleh menyebabkan longkang tersumbat dan mencemarkan udara.

“Justeru, kempen ini adalah untuk memberikan kesedaran kepada perokok sebelum penguatkuasaan dilaksanakan yang membolehkan mereka dikompaun sebanyak RM10,000, bahkan dipenjara selama dua tahun jika ditangkap merokok di tempat awam yang telah ditetapkan sebagai kawasan larangan merokok,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Kempen KLBAR.

Mahadi berkata, kempen itu adalah hasil daripada sesi libat urus jawatankuasa KLBAR bersama pelbagai pihak seperti Kumpulan Prasarana, Jabatan Agama Islam Wilayah, sekolah, jabatan-jabatan dalaman DBKL dan peniaga.

“Kita (DBKL) memegang kepada konsep ‘bandar untuk semua’ jadi libat urus dengan pelbagai pihak adalah satu cara bekerja baharu termasuklah penyebaran maklumat, jadi sebelum kita melaksanakan sesuatu, masyarakat perlu diberitahu terlebih dahulu supaya kita berlaku adil kepada mereka,” katanya.

Sebelum ini, DBKL mewartakan semua laluan pejalan kaki dan jejantas berbumbung serta terowong pejalan kaki bawah tanah di sekitar ibu kota sebagai kawasan larangan merokok.

Pewartaan mengikut Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 itu bertujuan melindungi orang awam daripada ancaman asap rokok yang boleh membahayakan kesihatan.

Majlis pelancaran itu turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang larian virtual KLBAR yang telah berlangsung dari April hingga September 2021 bagi mempromosi kempen tersebut kepada orang ramai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.