Tutup kolej MARA di Semporna keputusan sukar, kata menteri

Tutup kolej MARA di Semporna keputusan sukar, kata menteri

Kolej Politeknik MARA di Semporna menanggung kerugian RM28 juta susulan pengambilan pelajar berkurangan dalam beberapa tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Mahdzir Khalid (kanan) ditemani Pengerusi Mara, Azizah Dun dalam sidang media di Kota Kinabalu hari ini.
KOTA KINABALU:
Kerajaan tiada pilihan kecuali menutup Kolej Politeknik Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Semporna kerana mengalami kerugian lebih RM28 juta.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Mahdzir Khalid berkata, kerajaan kesal dengan keadaan itu dan ia keputusan sukar yang terpaksa dibuat.

Katanya, kerugian itu berpunca disebabkan pengambilan pelajar berkurangan dalam beberapa tahun ini.

Beliau berkata, kolej itu kini hanya mempunyai 96 pelajar berbanding kapasiti asalnya 600 pelajar.

“Walaupun MARA dibiayai kerajaan persekutuan, ia dianggap entiti swasta,” katanya dalam sidang media di sini.

“Kami tiada peruntukan daripada kerajaan untuk membayar gaji guru atau penyelenggaraan kolej. Kolej perlu menjana pendapatan setiap suku tahun, (tetapi) sekarang kami berdepan kerugian.”

Sebelum ini, kolej itu dilaporkan akan ditutup menjelang 31 Julai 2022 akibat kekurangan pelajar dan kerugian berjumlah RM28.5 juta.

Minggu lalu, Mahdzir dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Sepanggar, Azis Jamman di Parlimen berkata, kolej itu mencatatkan purata kerugian tahunan RM2.45 juta sejak ditubuhkan pada 2010.

Media melaporkan baki pelajar di kolej itu akan dipindahkan ke kolej politeknik MARA di Semenanjung, manakala kakitangannya dibenarkan berpindah ke cawangan lain di Semenanjung atau memilih Skim Pemisahan Sukarela (VSS).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.