Proses arak tiruan, lelaki ditahan dalam serbuan

Proses arak tiruan, lelaki ditahan dalam serbuan

PGA merampas pelbagai peralatan dan bahan yang keseluruhan nilai termasuk cukai berjumlah lebih RM5.3 juta.

Komander Briged Tengah PGA, Muhammad Abdul Halim menunjukkan rampasan arak tiruan di sebuah premis di Jalan Seri Wangi, Masai, semalam. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai peralatan serta bahan bagi kegiatan memproses dan mengedar arak tiruan membabitkan keseluruhan nilai termasuk cukai berjumlah lebih RM5.327 juta, selepas menyerbu sebuah premis di Jalan Seri Wangi, Masai di sini, semalam

Komander Briged Tengah PGA, Muhammad Abdul Halim berkata, lelaki berumur 20-an yang disyaki pengurus kegiatan itu ditahan dalam serbuan Ops Kontraban kira-kira 4.45 petang.

Beliau berkata, premis itu dijadikan tempat pemprosesan arak serta pembotolan secara haram untuk diedar dalam pasaran sekitar sini, dan campuran arak berkenaan dipercayai tidak menepati piawaian ditetapkan pihak berkuasa atau pengilang sebenar jenama arak itu.

“Kita merampas 62 tong biru berisi cecair pati arak serta 56 kotak botol berjenama McDowell’s dan Club 99, selain pelekat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) disyaki palsu, dua motokar, forklift, ‘pam air’ dan telefon bimbit,” katanya pada sidang media di premis berkenaan hari ini.

Katanya, anggaran nilai rampasan arak adalah RM3.747 juta dan anggaran nilai cukai arak sebanyak RM1.463 juta, manakala lain-lain rampasan bernilai RM117,000.

Beliau berkata, sindiket terbabit dipercayai memproses sendiri arak itu dengan membeli tong biru berisi pati arak, sebelum dibotolkan dan ditampal pelekat dua jenama berkenaan, selain pelekat JKDM untuk mengaburi pihak berkuasa dan pelanggan mereka.

Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai kembali aktif sejak enam bulan lepas, setelah kerajaan melonggarkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan akibat pandemik Covid-19.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 75 Akta Eksais 1976 (kesalahan membuat, memproses arak dan memiliki peralatan membuat arak).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.