
Mangsa, Wan Ahmad Haziq Wan Abd Razak, 25, cedera parah dan disahkan meninggal dunia di Hospital Pasir Mas, manakala isterinya, Norainsya Mohd Suhaimi, 22, pula cedera di kepala, dalam kejadian jam 4.45 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta pasangan itu hilang kawalan dan terbabas ke jalan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta lain.
Kemalangan berlaku ketika mereka dalam perjalanan dari arah Tanah Merah ke Pasir Mas, katanya.
“Mangsa cedera parah di dada dan disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Pasir Mas, manakala isterinya luka di kepala.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya, menurut laporan Berita Harian.
Sementara itu, adik mangsa, Wan Ahmad Aizat, 23, berkata, pasangan berkenaan dalam perjalanan ke kedai untuk memilih pelamin bagi majlis bertandang.