Pengantaraan atau litigasi: Persoalan utama bagi profesion guaman

Pengantaraan atau litigasi: Persoalan utama bagi profesion guaman

Persoalan ini timbul disebabkan kerugian perniagaan akibat sekatan Covid-19.

Jika penggiat industri pembinaan mengalami kerugian, terdapat kesan domino ke atas pembekal, pemaju dan lain-lain yang berkait dengan ekosistem industri, kata seorang peguam kanan.
PETALING JAYA:
Pelbagai langkah sekatan Covid-19 yang menjejaskan pelaburan asing di seluruh rantau turut menimbulkan pelbagai isu mencabar bagi profesion guaman.

Pada webinar mengenai kesan wabak terhadap pelaburan asing di Asia, peguam kanan, Jeff Leong berkata, sekatan mengakibatkan kerugian perniagaan dan ini menimbulkan pertikaian antara pelabur dan negara tuan rumah, selain persoalan pengantaraan atau litigasi.

Leong juga menyifatkan insolvensi dan penyelamatan korporat sebagai isu utama lain yang mendapat perhatian lebih daripada peguam di seluruh rantau ini.

“Ini adalah isu di lapangan yang sangat nyata dan kami tiada penyelesaiannya,” kata Leong, yang juga pengerusi bersama jawatankuasa undang-undang korporat, sekuriti dan pelaburan Persatuan Undang-undang untuk Asia dan Pasifik.

“Di Malaysia, industri pembinaan terjejas teruk akibat wabak dan mengalami kerugian besar,” katanya.

“Jika penggiat industri mengalami kerugian, terdapat kesan domino ke atas pembekal, pemaju dan lain-lain yang berkait dengan ekosistem industri. Jadi insolvensi dan penyelamatan korporat adalah isu yang perlu kita teliti.”

Leong dalam blognya sebelum ini menyebut bahawa kemunculan krisis Covid-19 pada awal 2020 menjelaskan hakikat bahawa kontrak terjejas tanpa mana-mana pihak bersalah.

Beliau turut menegaskan, impak dan akibat yang meluas daripada wabak dan sekatan adalah di luar jangkaan dan imaginasi perniagaan, pihak berkontrak dan kerajaan.

Menerusi webinar sama, peguam dari China, Indonesia, Vietnam dan Thailand bercakap mengenai impak Covid-19 terhadap pelaburan langsung asing di negara masing-masing serta cabaran dan peluang yang kini muncul bagi bakal pelabur.

Lawasia adalah persatuan serantau peguam, hakim dan organisasi undang-undang yang menyokong kepentingan dan menyuarakan kebimbangan profesion undang-undang Asia Pasifik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.