
Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, berkata trend peningkatan kluster baharu sehingga 27 Nov lalu (ME ke-47) dalam semua kategori kecuali tempat kerja dan import adalah amat membimbangkan.
Beliau berkata, sehingga 27 Nov lalu, sebanyak 2,619,577 kes kumulatif Covid-19 telah dilaporkan dengan 65,978 kes aktif dan 30,280 kes kumulatif kematian.
“Pada ME ke-47 (21 hingga 27 Nov 2021), penurunan kes baharu secara kumulatif ME sebanyak 6.8% iaitu daripada 40,600 kes (ME ke-46) kepada 37,830 kes (ME ke-47).
“Kes kematian konsisten menunjukkan penurunan sebanyak 12.4% dengan 304 kematian berbanding 347 kematian pada ME ke-46,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan situasi Covid-19 di sini.
Beliau berkata, nilai Rt kebangsaan terus menunjukkan penurunan kepada 0.95 setakat semalam, berbanding 0.96 pada Ahad.
Menurutnya, tren penurunan nilai Rt itu dijangka akan terus memberi impak positif dalam memastikan Malaysia bergerak ke arah fasa hidup dengan virus dan seterusnya fasa endemik sekiranya rakyat memberi sepenuh kerjasama dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dan hadir pada janji temu suntikan dos penggalak jika telah layak.
Mengulas mengenai peningkatan kluster baharu, Hisham berkata, peningkatan semua jenis kategori kluster kecuali import dan tempat kerja amat membimbangkan kerana ia menunjukkan peningkatan aktiviti sosial di semua peringkat selain pematuhan SOP sudah mula dipandang ringan.
“Hal ini terbukti apabila data menunjukkan terdapat peningkatan kompaun bagi kesalahan gagal memakai pelitup muka sebanyak 8.9%.
“Walaupun kesalahan gagal menjaga penjarakan fizikal mulai berkurang (penurunan 73.7%), namun pemakaian pelitup muka dengan betul haruslah diberi penekanan. Ini adalah amat penting bagi memastikan perebakan melalui udara dapat dikurangkan,” katanya.
Sebanyak sembilan lagi kluster juga dikesan hari ini dengan terdapat 231 kluster masih aktif di seluruh negara.