
Dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Gooi menyifatkan tindakan wakil PAS terus menimbulkan naratif itu sebagai tidak bertanggungjawab.
Katanya, realitinya kebajikan orang Melayu dijaga baik di Pulau Pinang, dengan peruntukan berkait hal ehwal Islam lebih banyak diberikan, iaitu hampir 2,000% lebih tinggi berbanding Kedah.
Gooi berkata, peruntukan kerajaan negeri dalam hal ehwal Islam di negeri itu tahun depan berjumlah RM71 juta, manakala peruntukan yang disediakan oleh Kedah menerusi Majlis Agamanya hanya RM3.5 juta.
Beliau berkata, komitmen tahunan kerajaan negeri berhubung hal ehwal orang Melayu jelas membuktikan naratif yang digunakan oleh PAS berhubung nasib orang Melayu di negeri berkenaan sebagai tidak benar.
Gooi juga menyuarakan kekecewaan terhadap kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang, yang mendakwa pemimpin Muslim walaupun seorang yang zalim, lebih baik daripada pemimpin bukan Muslim.
“Bila kita mahu hentikan politik kebencian dan perkauman? Pulau Pinang jadi sasaran PAS, tak henti-henti menyerang Pulau Pinang.
“Nengapa Menteri Besar (Kedah) cukup obses dengan Pulau Pinang? Banyak projek mega tertangguh sejak 2011, seperti projek Kedah Rubber City. Mengapa tidak beliau selesaikan dulu isu itu. Jangan ganggu kita,” katanya yang juga bekas Ahli Parlimen Alor Setar ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2022.
Awal bulan ini, ahli jawatankuasa PAS negeri, Abdul Razib Abd Rahim, mendakwa kerajaan Pulau Pinang cuba menghalau orang Melayu dari negeri berkenaan menerusi projek pembangunan.
Abdul Razib ketika berucap dalam muktamar parti itu mendakwa antara projek dimaksudkan termasuk ladang babi yang besar di petempatan orang Melayu, tebus guna tanah dan projek infrastruktur lain.
Beliau juga kecewa wakil rakyat bukan Melayu Pulau Pinang mendominasi kedua-dua kerusi DUN dan Parlimen.