
Aplikasi yang dibangunkan Brogrammer Digital Sdn Bhd itu menggabungkan tiga inisiatif – Fuiyoh Business, Fuiyoh Tourism dan Fuiyoh Metaverse – membolehkan pengguna berinteraksi dalam dunia digital disokong teknologi maklumat dan data.
Ketua Pegawai Eksekutif Brogrammer Digital, Mohamad Afifudin Md Yusoff berkata perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu berani menerima dan mengadaptasi teknologi digital, khususnya operasi perniagaan “front dan back-end”.
“Inisiatif digital ini bakal memacu Malaysia sebagai ekonomi maju dari segi teknologi dan berdaya saing dalam era digital ini, dan Fuiyoh menawarkan penyelesaian menyeluruh,” katanya dalam kenyataan.
Afifudin berkata, ekosistem Fuiyoh Business merangkumi dua perkhidmatan, iaitu Fuiyoh Delivery dan Fuiyoh Marketplace, yang mana Fuiyoh Delivery adalah perkhidmatan penghantaran merangkumi hab, kurier dan penghantaran segera oleh kru.
Fuiyoh Marketplace pula adalah platform produk, makanan serta perkhidmatan.
“Dua belas usahawan mempamerkan minat dengan menyerahkan deposit untuk membuka Fuiyoh Hub kepada Koperasi Perkhidmatan Pelajaran Nasional Berhad, entiti yang memiliki kepentingan utama dalam ekosistem ini.
“Jumlah pelaburan 12 usahawan ini adalah RM3 juta,” katanya sambil menambah Brogrammer Digital turut menawarkan bantuan subsidi RM240,000 kepada 12 pemilik Fuiyoh Hub.
Bagi Fuiyoh Tourism pula, katanya, ia tertumpu kepada pendigitalan tempahan dan pembelian tiket, e-dompet, ganjaran, rakan (buddies), penginapan, maklumat, khidmat kenderaan serta pelancongan.
“Pengguna juga boleh kongsi ulasan dan maklum balas untuk meningkatkan minat pelancong. Antara manfaat daripada ekosistem ini termasuk hotel dan penginapan, pemandu pelancong, syarikat jualan tiket, kenderaan pelancongan dan kaunter informasi,” katanya.
Ekosistem Fuiyoh Metaverse pula menawarkan pendekatan gabungan dunia realiti dan maya.
“Pelancong yang menggunakan platform Fuiyoh boleh membuat tinjauan maya ke tempat pelancongan.
“Tidak tertumpu kepada sektor pelancongan sahaja, Fuiyoh Metaverse juga bakal membawa manfaat kepada sektor pendidikan, automotif, perubatan, reka bentuk dalaman dan bidang kejuruteraan.”