
Baru-baru ini, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz mengumumkan peruntukan RM33 juta ketika membentangkan Bajet 2022 untuk membantu industri runcit kerana kerajaan komited untuk menyokong produk semula jadi dan kraftangan tempatan melalui inisiatif ini.
Timbalan Presiden Persatuan Pergerakan Pengguna Malaysia (MCM), Beninder Johl berkata, ia penting untuk terus membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengekalkan perniagaan sambil merangsang pemulihan ekonomi domestik.
“Ia boleh membawa padah jika produk keluaran tempatan diabaikan kerana setiap kali berlaku kelembapan ekonomi global, negara yang banyak bergantung kepada import menanggung akibatnya.
“Lebih banyak wang perlu diperuntukkan untuk usaha ini dan selain kempen perhubungan awam (PR), wang perlu disalurkan terus untuk promosi harga,” katanya kepada FMT.
Johl berkata, pengguna Malaysia perlu digalakkan memilih produk tempatan, justeru penentuan harga penting.
“Walaupun kempen PR membantu, promosi harga boleh menjadi sangat berkesan. Aktiviti lain yang boleh membantu termasuk aktiviti persampelan produk.
“Jenama multinasional mempunyai belanjawan besar untuk tujuan ini bagi memastikan produk mereka terus dipilih pengguna. Tanpa sokongan dan pilihan pengguna, semuanya akan gagal.
“Terimalah hakikat syarikat besar bermula sebagai PKS dan ia mengambil bertahun-tahun untuk berkembang.
“Jadi, jika ia memerlukan pengorbanan satu atau dua generasi untuk membinanya, usahawan perlu menerima hakikat ini. Komitmen dan pengetahuan pengurusan perniagaan yang betul adalah faktor kritikal.”
Sebagai pengguna katanya, rakyat perlu mengutamakan produk tempatan berbanding import kerana pengguna sendiri yang akan menentukan tahap kejayaan PKS.
“Ia adalah ekosistem yang tidak dapat bertahan tanpa satu sama lain. Pertumbuhan ekonomi domestik bergantung kepada pilihan pengguna yang juga tanggungjawab bersama kita ke arah pertumbuhan sosioekonomi negara.”
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Saravanan Thambirajah berkata, kempen sebegini boleh membantu usahawan memperluaskan rangkaian pemasaran dengan meningkatkan permintaan tempatan.
“Produk keluaran tempatan memainkan peranan besar dalam ekonomi negara. Ia juga akan menyumbang ke arah meningkatkan KDNK dan menyokong peranan dimainkan PKS dalam menawarkan pekerjaan serta menyokong pertumbuhan ekonomi.”
Saravanan berkata, RM33 juta yang diperuntukkan itu adalah permulaan untuk menghidupkan semula produk Malaysia dan fokus perlu diberikan kepada pemantauan serta penilaian bagaimana dana itu akan digunakan.
“Satu kajian juga harus dijalankan untuk menyiasat pilihan rakyat Malaysia dan apa yang mereka harapkan daripada produk keluaran tempatan. Hasil kempen itu sangat penting kerana kempen ini bukan baharu dan telah dilaksanakan sejak awal 1980-an.
“RM33 juta itu perlu dibelanjakan secara baik dengan jangkaan hasil pencapaian positif.”
Saravanan berkata, dana itu perlu disalurkan ke arah pemasaran produk dalam talian dan menambah baik kualiti serta keselamatan produk tempatan.
“Wang tidak patut dibazirkan untuk papan iklan besar di lebuh raya, sebaliknya ia perlu lebih menumpukan kepada cara meletakkan produk ke dalam tangan pengguna.
“Kempen itu juga perlu mempunyai sebuah majlis untuk meneliti bagaimana tindakan konkrit boleh dilaksanakan selain mendapatkan input daripada pelbagai pemain industri seperti Bank Negara Malaysia, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perangkaan dan badan bukan kerajaan lain.”