
Kumpulan itu dalam kenyataan berkata, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Isham Ishak dan delegasi daripada kementerian berkenaan adalah antara penumpang yang menaiki penerbangan VTL MH603.
Penumpang dihidangkan dengan biskut bendera Malaysia dan Singapura yang ditempah khas di ruang berlepas manakala penumpang yang tiba dari Singapura melalui MH606 menerima buah tangan.
“Hari ini menandakan satu hari yang istimewa bagi kami semua ketika penerbangan VTL sulung ini dimulakan untuk menjadikan perjalanan lebih selamat serta lancar antara KLIA dan Lapangan Terbang Changi.
“Kami merekodkan tempahan hadapan yang agak positif dalam beberapa minggu akan datang untuk sektor-sektor ini. Kami teruja untuk melihat KLIA kembali sibuk selepas lengang selama lebih dari setahun sejak wabak bermula,” kata Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Ahmad Luqman.
Penumpang akan menikmati perjalanan mereka dengan tenang kerana juruterbang dan kru kabin Malaysia Airlines yang berkhidmat dalam penerbangan itu diberi vaksin sepenuhnya. Mereka juga akan diberi kit kebersihan percuma.
“Pesawat kami juga dilengkapi dengan penapis High Efficiency Particulate Air (HEPA) untuk memastikan sistem peredaran udara yang berkesan dan mampu menapis 99.7% organisma mikro di atas kapal,” katanya.
Penerbangan sekali sehari itu akan dikendalikan oleh pesawat model A330-300 melalui MH603/606 dengan 290 tempat duduk, yang terdiri daripada 27 tempat duduk dalam Kelas Perniagaan dan 247 tempat duduk dalam Kelas Ekonomi.