Kes pertama Covid-19 babit VTL darat Malaysia-Singapura dikesan

Kes pertama Covid-19 babit VTL darat Malaysia-Singapura dikesan

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata kes positif itu dikesan pagi tadi, menerusi saringan yang dibuat di pintu masuk.

Kementerian Kesihatan tegas mahu melaksanakan saringan apabila pengembara tiba di pintu masuk negara bagi memastikan penularan jangkitan Covid-19 dapat ditangani sepenuhnya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Satu kes positif Covid-19 dikesan di pintu masuk negara ini pada hari pertama Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dan Singapura dibuka.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kes positif itu dikesan pagi tadi menerusi saringan yang dibuat di pintu masuk.

“Kita buat semua keputusan bersandarkan sains, justeru kementerian (Kementerian Kesihatan) tegas untuk tetap melaksanakan saringan apabila mereka tiba di pintu masuk negara.

“Walaupun mereka yang masuk menerusi VTL dikehendaki membuat saringan 72 jam sebelum hari perjalanan, tetapi ia masih membuka ruang kepada pelbagai kemungkinan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Khairy berkata, langkah itu adalah bagi memastikan penularan jangkitan, termasuk daripada risiko varian baharu, Omicron dapat ditangani sepenuhnya.

Terdahulu, perkhidmatan bas yang membawa pengembara VTL darat melalui Tambak Johor mula beroperasi hari ini tepat pukul 7.30 pagi tadi.

Untuk permulaan, ia melibatkan seramai 1,440 orang (satu hala) dengan 64 trip sehari menggunakan perkhidmatan bas Handal Indah (Causeway Link) (Malaysia) dan Transtar (Singapura).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.