‘Kalau berani sebut nama’, ADUN DAP dakwa Ketua Pembangkang Selangor bohong isu GLC

‘Kalau berani sebut nama’, ADUN DAP dakwa Ketua Pembangkang Selangor bohong isu GLC

Rizam Ismail (BN-Sungai Air Tawar) dicabar menamakan anak syarikat kerajaan Selangor yang didakwa culas mengadakan mesyuarat.

ADUN Bandar Baru Klang, Teng Chang Khim berkata, Ketua Pembangkang DUN Selangor, Rizam Ismail, berbohong apabila mendakwa mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah membabitkan GLC Selangor tidak diadakan dengan kerap.
SHAH ALAM:
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Bandar Baru Klang, Teng Chang Khim, mencabar Ketua Pembangkang Selangor supaya menyatakan secara spesifik nama anak syarikat bawah kerajaan negeri (GLC) yang dikatakan culas mengadakan mesyuarat.

“Sebutkan syarikat mana kalau betul ada aduan tersebut, kalau betul ada audit tersebut, sebutkan namanya. Saya cabar Ketua Pembangkang kalau berani buat tuduhan spesifik kita akan jawab dan ambil tindakan,” kata Teng.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Rizam Ismail (BN-Sungai Air Tawar) dalam perbahasannya pada sidang DUN mendakwa mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah membabitkan GLC Selangor tidak diadakan dengan kerap.

“Jika mesyuarat jarang dilakukan bagaimana keputusan dapat dibuat? Adakah hanya ditentukan oleh CEO semata-mata? Jadi di mana ketelusan semak dan imbang akan berlaku, ini dibimbangi akan menyebabkan berlaku ketirisan dan salah guna kuasa,” katanya.

Dakwaan itu bagaimanapun dibidas Teng, yang mengatakan ia adalah tuduhan melulu dan pembohongan kerana tidak menyebut secara spesifik nama anak syarikat kerajaan negeri yang terlibat.

Teng yang juga salah seorang Ahli Lembaga Pengarah dalam GLC Selangor menjelaskan, sepanjang pengetahuannya semua anak syarikat mengadakan mesyuarat mengikut jadual ditetapkan.

“Itu adalah satu tuduhan yang serius, jadi kalau tuduhan yang serius kena spesifik. Tidak boleh buat tuduhan melulu, tidak adil la macam mana nak jawab…itu saya kata ia satu pembohongan, kalau benar sebutkan nama,” tegasnya.

Menjawab asakan daripada Teng, Rizam bagaimanapun menafikan membuat tuduhan, sebaliknya ia adalah satu pertanyaan dan beliau meminta agar dinyatakan senarai nama Ahli Lembaga Pengarah serta keuntungan setiap anak syarikat kerajaan negeri.

“Dengar dulu perbahasan saya, kenapa nak emosi sangat? Kalau ada yang kerap adakan mesyuarat, boleh nyatakan keuntungan, bila saya sentuh sikit isu GLC mula melompat.

“Saya tak buat tuduhan, sebenarnya pertanyaan…bentangkan di dalam dewan ini biar rakyat tahu, kekerapan mesyuarat dan untung rugi anak-anak syarikat ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.