IWK teroka hasil bukan tarif

IWK teroka hasil bukan tarif

Syarikat pembekal perkhidmatan pembetungan itu melihat aktiviti kitar semula air untuk kegunaan bukan minuman.

Jemaah Menteri memutuskan untuk memperbaharui konsesi Indah Water Konsortium untuk mengurus dan menyelenggara sistem pembetungan awam berdasarkan ‘prestasi cemerlangnya’.
PETALING JAYA:
Penyedia perkhidmatan pembetungan terbesar negara akan meneroka aliran hasil bukan berasaskan tarif, terutama daripada aktiviti kitar semula air untuk kegunaan bukan minuman.

Ini selaras lanjutan perjanjian konsesi Indah Water Konsortium (IWK) dan aspirasi kerajaan persekutuan untuk syarikat itu lebih mampan dari segi kewangan.

“Terdapat banyak potensi untuk efluen terawat yang dibuang ini digunakan semula,” kata Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan.

Sehingga 2019, katanya, Malaysia mengeluarkan lebih 230 juta liter air buangan sehari (JLH), yang mesti dirawat sebelum ia selamat dilepaskan ke saluran air.

Tuan Ibrahim berkata, kementerian menyasarkan untuk menghasilkan 1,500 JLH air kitar semula daripada efluen terawat menjelang 2030.

“IWK telah pun membentangkan rancangan perniagaannya untuk beralih ke arah mencapai kemampanan kewangan, operasi dan alam sekitar,” katanya.

Kerajaan menganugerahkan IWK konsesi 28 tahun untuk mengurus dan menyelenggara sistem pembetungan awam pada 1994 selepas Parlimen meluluskan undang-undang perkhidmatan pembetungan setahun sebelumnya.

Oktober lalu, Jemaah Menteri membuat keputusan untuk melanjutkan konsesi IWK, dengan mengambil kira “prestasi cemerlang” IWK.

Perjanjian baharu itu membolehkan IWK meneroka aktiviti perniagaan bukan tarif yang akan mengurangkan beban kewangannya dan memastikan kemampanan syarikat, terutamanya memandangkan tarif itu tidak pernah disemak sejak 1994.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Zaini Ujang, ketika bercakap mengenai kepentingan aktiviti bukan berasaskan tarif berkata pelanjutan perjanjian konsesi itu juga meliputi pelaksanaan aktiviti perniagaan bukan tarif oleh IWK.

“Ia termasuk menghasilkan air kitar semula daripada produk sampingan pembetungan supaya ia boleh dibekalkan kepada industri sebagai sumber air alternatif,” katanya.

Ketua Eksekutif IWK, Narendran Maniam, berkata syarikat itu akan mendapat dana daripada Wang Akaun Amanah Pembetungan (SCC) untuk menaik taraf loji awamnya.

Jumlah dana yang diperlukan akan bergantung pada pelbagai faktor termasuk lokasi, bilangan pelanggan dan umur.

“Sebaik sahaja pelan terperinci dibentangkan, IWK akan meminta dana daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), yang menyelia dana SCC dan akan menyemak semua rancangan sewajarnya sebelum memberikan kelulusannya,” kata Narendran.

Presiden Persatuan Air Malaysia (MWA) Mohmad Asari memuji peranan IWK dalam menguruskan sistem pembetungan negara.

Sebelum 1993, katanya, sistem pembetungan tidak berpusat dan berada di bawah pengurusan pihak berkuasa tempatan, yang membawa kepada kesan negatif terhadap kesihatan dan alam sekitar.

Apabila kerajaan menggubal Akta Perkhidmatan Pembetungan 1993, IWK menjadi pemegang konsesi pembetungan tunggal negara, diberi mandat untuk mengendalikan dan mengurus semua sistem pembetungan awam sehingga hari ini.

“Pengenalan pendekatan sistematik untuk pengurusan sistem pembetungan yang boleh dipercayai dan cekap telah menyumbang banyak kepada melindungi kesihatan awam negara, memelihara sumber airnya, dan meningkatkan kualiti alam sekitar, yang membawa kepada kelestarian jangka panjang bekalan air dan industri perkhidmatan pembetungan,” kata Asari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.