Ditipu agensi pekerjaan tidak wujud, akauntan rugi RM26,937

Ditipu agensi pekerjaan tidak wujud, akauntan rugi RM26,937

Mangsa dilaporkan terpedaya dengan tawaran komisyen pekerjaan separuh masa ketika melayari Facebook.

Mangsa diarahkan membuat 10 tugasan dan diminta membuat pembayaran ke beberapa akaun bank, kata Ketua Polis Daerah Bintulu, Zulkipli Suhaili. (Gambar Rawpixel)
PETALING JAYA:
Seorang wanita kerugian RM26,937 selepas terpedaya dengan tawaran komisyen daripada sebuah agensi pekerjaan yang tidak wujud di laman sosial Facebook.

Mangsa berusia 21 tahun bekerja sebagai akauntan di sebuah syarikat di sini dengan komisen sebanyak 15% dari nilai harga produk yang ditawarkan.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Zulkipli Suhaili berkata, kejadian bermula sejak 21 November lalu apabila mangsa melihat iklan tawaran pekerjaan separuh masa ketika melayari Facebook.

“Mangsa berminat bagi menjalankan pekerjaan sambilan itu kemudiannya berurusan dengan seorang individu yang juga wanita kononnya mahu membantu mangsa untuk melakukan kerja sambilan berkenaan,” katanya menurut laporan Berita Harian menerusi kenyataan.

Jelas beliau, tertarik dengan pulangan lumayan ditawarkan, mangsa bersetuju untuk melakukan tugas diberikan.

Bagaimanapun, katanya, mangsa diarahkan membuat pembayaran ke atas produk yang diberikan melalui aplikasi WhatsApp mengikut masa ditetapkan, untuk mendapat keuntungan dijanjikan.

“Selepas berjaya melakukan tugasan itu, mangsa diarahkan oleh sindiket terbabit untuk melakukan tugasan seterusnya sehingga 10 tugasan dan diminta untuk membuat pembayaran ke beberapa akaun bank yang diarahkan oleh sindiket.

“Mangsa hanya menyedari yang dirinya ditipu apabila mangsa bertanyakan tentang wang miliknya termasuk pulangan yang dijanjikan, namun sindiket memberikan pelbagai alasan dan meminta mangsa untuk melakukan tugasan lain bagi melayakkan mangsa menebus modal dan komisen ditawarkan,” ujar beliau.

Menyedari dirinya ditipu, mangsa bertindak membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan berhubung perkara berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.