
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang pengurus besar sebuah agensi kerajaan negeri kerana disyaki menerima rasuah berjumlah kira-kira RM8,000.
Lelaki berusia 40-an itu ditahan SPRM cawangan Tawau, kira-kira jam 9 pagi, hari ini.
Sumber berkata, suspek terbabit dipercayai telah menggunakan kedudukannya untuk meluluskan baucar bayaran pada tahun 2018 sedangkan kerja-kerja itu dilakukan suspek sendiri.
Difahamkan, suspek telah dilepaskan dengan bon jamin SPRM sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki terbabit.
Katanya, suspek ditahan mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 dan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau pada 3 Dis.