Ujian khas kemasukan Tingkatan 1, 4 MRSM bermula 3 Dis

Ujian khas kemasukan Tingkatan 1, 4 MRSM bermula 3 Dis

Semakan tarikh, masa dan tempat ujian boleh dibuat secara dalam talian bermula 10 pagi esok melalui portal rasmi MARA.

Semua calon terlibat akan menduduki ujian khas di 61 pusat ujian terpilih melibatkan 53 MRSM di seluruh Malaysia dan lapan Institusi Pendidikan MARA (IPMA) yang lain.
KUALA NERANG:
Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan mengadakan ujian khas untuk kemasukan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bagi pelajar Tingkatan 1 dan 4 tahun 2022, pada Dis ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Mahdzir Khalid, berkata Ujian Kecenderungan Kemasukan ke MRSM (UKKM), Ujian Khas Ulul Albab dan Ujian Teknikal bagi Tingkatan 1 dan 4 itu, bermula 3 Dis bagi calon yang berada di Kedah, Kelantan, Johor dan Terengganu.

“Manakala bagi calon dari negeri yang lain akan bermula pada 4 Dis 2021,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan buku bacaan dan topi keledar kepada Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi sekolah-sekolah bawah Parlimen Padang Terap, di Pejabat Pendidikan Daerah Padang Terap.

Mahdzir berkata, calon terlibat akan dipanggil menduduki ujian itu secara berperingkat sehingga 30 Jan tahun depan dengan semakan tarikh, masa dan tempat ujian boleh disemak secara dalam talian bermula 10 pagi esok, melalui portal rasmi MARA serta akan menerima notifikasi menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) atau emel yang didaftarkan semasa permohonan.

Beliau berkata, calon tidak dibenarkan membuat sebarang pertukaran tarikh, masa dan tempat ujian yang telah ditetapkan itu nanti.

“Semua calon yang terlibat akan menduduki ujian khas ini di 61 pusat ujian terpilih yang melibatkan 53 MRSM di seluruh Malaysia dan lapan Institusi Pendidikan MARA (IPMA) yang lain, di Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya.

Mahdzir berkata, calon UKKM akan dinilai berdasarkan subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, matematik, sains dan keperibadian.

“Saya mohon semua calon bersedia dan membuat persiapan yang lengkap menjelang hari peperiksaan, dan mendoakan ujian ini berjalan dengan lancar,” katanya.

Sementara itu, Mahdzir berkata MARA menerima sejumlah 57,122 permohonan untuk ke Tingkatan 1 manakala untuk Tingkatan 4 pula sebanyak 17,350 permohonan bagi sesi persekolahan tahun depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.