Pelan Tindakan Perpaduan Negara kembalikan impian asal perpaduan, kata PM

Pelan Tindakan Perpaduan Negara kembalikan impian asal perpaduan, kata PM

Ismail Sabri berkata Rukun Negara merupakan dokumen asas tatacara kehidupan bermasyarakat warga Malaysia yang telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970.

Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 merupakan satu modus operandi yang terancang berlandaskan lima strategi penting, menurut Ismail Sabri Yaakob.
KUALA LUMPUR:
Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 adalah usaha untuk mengembalikan semula impian asal mengenai perpaduan yang tersurat dalam lima prinsip Rukun Negara, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata Rukun Negara merupakan dokumen asas tatacara kehidupan bermasyarakat warga Malaysia yang telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 bertujuan membina perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum berlandaskan kesepaduan dan keharmonian antara kaum menerusi prinsip-prinsip yang terkandung dalamnya.

Katanya sehubungan itu Kementerian Perpaduan Negara yang diterajui Menteri Halimah Mohamed Sadique akan memandu Keluarga Malaysia untuk memahami makna perpaduan dalam skop yang lebih luas dan inklusif dengan menjadikan Rukun Negara sebagai teras utama.

“Ini bukanlah sebuah pelan yang tertulis di atas kertas semata-mata kerana pelan tindakan ini merupakan satu modus operandi yang terancang berlandaskan lima strategi penting,” katanya semasa melancarkan Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 hari ini.

Lima teras strategik berkenaan adalah memelihara sistem demokrasi Raja Berperlembagaan, kedua membentuk masyarakat yang menghargai dan mengamalkan perpaduan, ketiga memperkasakan sosio-ekonomi yang adil dan saksama, keempat menjamin keterbukaan dan toleransi terhadap perbezaan agama dan tradisi kebudayaan dan kelima membina masyarakat progresif melalui sains, teknologi dan inovasi.

Perdana Menteri berkata pelan berkenaan dirangka sesuai dengan program mengikut keupayaan institusi di peringkat pusat, negeri dan akar umbi, di samping mampu memanfaatkan Keluarga Malaysia, iaitu merangkumi program pendidikan, ekonomi, kebajikan, sosio-budaya, sains, teknologi dan inovasi.

Ismail turut menyeru kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) selaku agensi peneraju dan pelaksana dalam pelan tindakan berkenaan untuk duduk bersama sebagai sebuah keluarga besar.

“Kerjasama semua pihak mampu mencorakkan kehidupan yang lebih tersusun, terangkum, bersama dan sentiasa bersyukur di atas apa yang kita perolehi seharian untuk membentuk kesepaduan dan keharmonian yang bersifat nasional tanpa mengira kaum dan agama.

“Itulah harapan yang saya inginkan apabila berbicara tentang perpaduan semasa melancarkan Keluarga Malaysia di Sarawak pada pada 23 Okt lepas,” katanya.

Sementara itu Perdana Menteri turut melancarkan satu lagi pelan iaitu KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 yang merupakan satu pelan yang paling signifikan kepada Kementerian Perpaduan Negara dalam menerajui agenda perpaduan nasional.

Beliau berkata pelan yang merakyatkan perpaduan itu akan memberi tumpuan terhadap empat dimensi, atau KAMI iaitu K yang membawa makna – Karib; A – Aksesibiliti ; M – Majmuk dan I – Inklusiviti.

“Pelan ini dirangka berdasarkan satu kajian yang melibatkan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat di seluruh negara menjurus kepelbagaian budaya dan agama supaya dapat menepis sebarang usaha yang mencemarkan perpaduan di negara ini.

“Pendedahan ini juga adalah signifikan supaya masyarakat berlainan etnik dapat mengawal percakapan dan perbuatan yang menyentuh sensitiviti agama serta budaya etnik lain sehingga sering menjadi pencetus reaksi negatif,” katanya.

Ismail berkata impian kemakmuran bersama Keluarga Malaysia adalah asas kepada kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara.

“Diharap Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 dapat mengukuhkan lagi perpaduan yang sedia terjalin dalam kalangan Keluarga Malaysia,” katanya.

Selain Halimah turut hadir pada majlis pelancaran serentak dua pelan berkenaan adalah beberapa menteri antaranya Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim, Menteri Sumber Manusia M. Saravanan, Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Ras Adiba Radzi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.